Ungu, Artis Tempatan Meriahkan Pesta Muzik Kuantan
Foto Kredit: Maestro Ridhwan
Warga Pahang dan Pantai Timur, khususnya peminat kumpulan Ungu yang popular dengan lagu Demi Waktu pastinya cukup bertuah apabila buat pertama kalinya mereka akan beraksi di Kuantan. Lebih menarik dengan hanya bermodalkan RM58 anda boleh menyaksikan kumpulan ini beraksi di pentas Pesta Muzik Kuantan yang bakal berlangsung pada 24 Februari depan.
Anda juga berpeluang menyaksikan persembahan barisan penyanyi hebat tanah air seperti Naim Daniel, Khai Bahar, Nabila Razali, Ara Johari dan ramai lagi. Ianya di adakan adalah bersempena keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke Pahang selepas berakhirnya pemerintahan baginda berdua.
Pesta Muzik Kuantan ini diadakan sempena menyambut keberangkatan pulang ke Pahang, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang bakal mengakhiri pemerintahannya tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI di Istana Negara.
Pesta yang dibawakan oleh Showpro Entertainment Sdn Bhd itu bakal mencatat sejarah tersendiri apabila menampilkan Ungu sebagai artis Indonesia pertama yang menyertai Pesta Muzik Kuantan kali ini.
Menurut pihak penganjur, Pesta Muzik Kuantan adalah satu penghormatan buat Al-Sultan Abdullah dan mahu rakyat jelata menikmati sebuah keraian yang menggabungkan antara muzik dan kebudayaan setempat.
“Showpro Entertainment sangat berbesar hati menganjurkan Pesta Muzik Kuantan sempena menyambut keberangkatan pulang DYMM Seri Paduka Baginda Tuanku ke negeri Pahang. Bagi memberi peluang kepada warga Pahang dan negeri pantai Timur berhampiran mengutip kenangan manis dan bermakna, kami membawakan kumpulan Ungu yang cukup terkenal di Malaysia.
“Ungu juga tidak pernah mengadakan persembahan di Stadium Darul Makmur secara khusus, jadi janganlah lepaskan peluang julung-julung kalinya ini,” ujar Puan Haniah Hassan sewaktu sidang media yang di adakan pada 5 Januari lalu.
Bagi Ungu pula, lamaran Showpro Entertainment ibarat satu kesempatan yang tidak selalu ada dan mereka mengaku tiada sebab untuk menolak selepas melihat objektif yang mahu dicapai menerusi Pesta Muzik Kuantan.
“Terlebih dahulu kami ingin berterimakasih kepada penganjur kerana memilih Ungu untuk turut serta di Pesta Muzik Kuantan. Ini mungkin akan menjadi pengalaman pertama kami mengadakan persembahan di hadapan penduduk Pahang dan di Pantai Timur.”
“Tetapi yang lebih istimewa lagi, penganjuran Pesta Muzik Kuantan ini adalah bersempena dengan sambutan kepulangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Pahang. Ia menjadi satu penghormatan buat Ungu apa lagi berkongsi pentas bersama barisan artis tanah air dan bertemu peminat di kawasan Pantai Timur,” ujar vokalis Ungu, Pasha.
Selain hiburan, Pesta Muzik Kuantan juga mempunyai objektif untuk terus melestarikan budaya termasuklah makanan dan produk tempatan kepada pengunjung. Acara ini akan bermula seawal jam 11 pagi di kawasan luar stadium.
Selain tiket serendah RM58 (Sejauh Mungkin), anda juga boleh mendapatkan tiket pada harga RM88.00 (Demi Waktu), RM98.00 (Cinta Dalam Hati), RM118.00 (Kekasih Gelapku & Seperti Yang Dulu), RM128.00 (Gegar), RM388.00 (VIP B, Free Seating) RM448.00 (VIP A, Free Seating) dan RM628.00 (VIP, Numbered Seating). Pembelian tiket boleh boleh dibuat menerusi https://www.ticket2u.com.my/ bermula 29 Disember 2023.
Radio Gegar FM adalah radio rasmi Pesta Muzikal Kuantan. Segala maklumat terkini boleh didapati menerusi radio Gegar FM atau laman sosial radio tersebut.