March 12, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Umairah Lancar ‘Tak Balik Raya’ – Lagu Raya Sayu, Tapi Tetap Ceria

Spread the love

Lagu Ini Juga Merupakan Single Raya Pertama Umairah

Setiap kali Syawal menjelang, pasti ada yang terpaksa menyambutnya jauh dari keluarga. Tahun ini, Umairah menghadiahkan sebuah lagu raya istimewa bertajuk Tak Balik Raya, yang bukan sahaja menyentuh emosi tetapi turut membangkitkan semangat ceria dalam suasana perayaan.

Dilancarkan secara rasmi hari ini di semua platform penstriman digital, Tak Balik Raya adalah kisah yang cukup dekat di hati – tentang realiti anak rantau yang terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana tuntutan kerja. Namun, melodi segar dan lirik yang memujuk menjadikan lagu ini bukan sekadar luahan rasa rindu, tetapi juga simbol pengharapan dan kebersamaan walau berjauhan.

Dicipta oleh Mas Dewangga dan Jova Devito, Tak Balik Raya bagaikan cinta pandang pertama buat Umairah.

“Saya mendengar demo lagu ini beberapa bulan lalu dan terus jatuh cinta! Muziknya bukan sahaja membawa emosi tetapi juga sesuai dengan jiwa remaja saya. Sebab itu, saya tidak teragak-agak untuk merakamkannya,” ujar Umairah dengan penuh teruja.

Sebagai juara kategori vokal (junior) di World Championships Of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Umairah bersyukur dengan sambutan positif sejak teaser lagu ini dikongsikan di media sosial. “Ramai kata lagu ini mudah diingat dan relatable. Saya harap ia dapat menemani mereka yang tidak dapat pulang beraya tahun ini.”

Walaupun temanya sayu, lagu ini juga menampilkan sisi positif – bagaimana teknologi menyatukan mereka yang berjauhan. Dalam dunia serba moden ini, anak-anak perantauan masih boleh berhubung dengan keluarga melalui panggilan video dan pesanan suara.

“Syawal tetap boleh diraikan dengan penuh makna, walaupun dari jauh,” kata Umairah optimis.

Bukan sekadar audio, Tak Balik Raya turut dilengkapi dengan video muzik rasmi yang bakal dilancarkan di YouTube Universal Music Malaysia pada 7 Mac, jam 9 malam. Menariknya, Umairah turut menampilkan rakan-rakan dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur sebagai penari pengiring malah ianya satu inisiatif untuk memberi ruang kepada bakat muda lain bersinar bersama.

“Saya mahu berkongsi pentas dengan rakan-rakan yang berbakat, kerana inilah dunia seni, tentang memberi peluang dan sokongan,” tambahnya.

Dengan Universal Music Sdn. Bhd. sebagai pengedar rasmi, lagu ini bakal mendapat promosi besar-besaran sepanjang Ramadan dan Syawal.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page