September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Ulek Mayang” Di Sasar Untuk Pasaran Luar Negara

3 min read
Spread the love

Mungkin ramai yang masih ingat pada lagu ‘Ulek Mayang’ yangmana ianya adalah antara lagu rakyat masyarakat Melayu Terengganu khususnya dan masyarakat Malaysia amnya di mana sehingga hari ini ianya terus dikaitkan dengan unsur mistik dan seram.

Stigma sebegitu disebabkan asal-usul lagu itu dikatakan mantera yang didendangkan dalam ritual menghalau entiti jahat.  Tidak hairanlah, ada yang mendakwa apabila mendengar lagu dan menyaksikan tarian Ulek Mayang versi penuh bukan sahaja mampu menegakkan bulu roma, malah kadangkala menyebabkan kerasukan. 

Adakah ianya mitos mahupun rialiti ceritera dahulukala, terpulang kepada individu itu sendiri namun bagi Pengarah Filem, Bade Hj Azmi bakal mengangkat ‘Ulek Mayang’ ke layar perak sedikit masa lagi.

“Ulek Mayang adalah karya rakyat yang diperkisahkan sejak dahulu kala, ia adalah monumen yang perlu kita angkat agar generasi dahulu mahupun masakini terus tahu akan susun galur ‘Ulek Mayang’ itu sendiri”, ujar Bade ketika ditemui media sempena Pembikinan Filem Ulek Mayang yang di adakan di Restoran Rebung baru-baru ini.

“Ramai yang tahu lagu Ulek Mayang, malah ada beberapa Pengarah Filem yang telah memasukkan scene lagu berkenaan dalam filem mereka termasuklah filem Fenomena yang membariskan kumpulan Search dan Ramona Rahman”, ujarnya

Bade turut memberi bayangan antara pelakon-pelakon yang akan menghidupkan ‘Ulek Mayang’, namun ianya belum diputuskan lagi.

“Saya ada beberapa nama dalam kepala namun ianya belum dimuktamadkan, namun begitu sepertimana anda sedia maklum, saya akan memberi ruang dan peluang kepada pelakon ‘fresh’ sepertimana yang saya lakukan dalam filem-filem terdahulu contohnya KL Menjerit”, jelasnya.

“Sudah pasti negeri Terengganu akan menjadi antara lokasi wajib penggambaran filem ini.  Kita juga telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku sewaktu sesi penggambaran di jalankan”

“Kita tidak tahu tapi kita harus percaya bahawa entiti itu wujud.  Besarlah harapan saya agar Ulek Mayang dapat dipertontonkan kepada khalayak, bukan hanya peminat filem tempatan tetapi sasaran sebenar saya adalah penonton luar dari Malaysia”, tambahnya.

Sementara itu Nur Hussein selaku Penerbit dan Penulis Skrip di Langit Terang Production Sdn Bhd menyifatkan filem Ulek Mayang adalah naskah yang wajar di angkat ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya merasa cukup teruja untuk menerbitkan Ulek Mayang meskipun ianya hanya cerita rakyat namun menterjemahkan ia dalam bentuk filem adalah sesuatu yang perlu dilakukan”, ujar Nur

“Kita akan cuba buat yang terbaik agar ianya tidak lari daripada fakta, sungguhpun begitu ianya harus di olah dengan sebaik serta di garab sehalus-halusnya agar ianya menepati citarasa penonton”, tambahnya

Charmaine Loke, wakil Valus Vision International Film Distribution turut bersetuju untuk bekerjasama setelah meneliti skrip dan pembentangan jalan cerita Ulek Mayang.

“Kami memang ‘cerewet’ dalam segala hal, apatah lagi ianya melibatkan filem tempatan.  Bukan mudah untuk membawa filem tempatan ke luar negara.  Tetapi selepas ‘team’ Bade dan Nur bertemu dengan kami dan bercerita tentang Ulek Mayang kami merasa teruja”

“Belum ada pengeluar filem yang ingin membuat filem rakyat seperti ini, justeru itu kami bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka”, ujar Charmaine

Bersempena ‘Pelancaran Pembikinan Filem Ulek Mayang’, pihak produksi akan akan mengadakan sessi ujibakat pada tarikh yang akan diumumkan. Ini akan menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu. Pencarian bakat baru ini akan diumumkan di Instagram dan TikTok handle ulekmayang_themovie.

Filem merupakan salah satu alat yang penting untuk bercerita dan memelihara budaya, yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik dan menggalakkan penonton tempatan dan luar negara mengapresiasi budaya tradisional yang semakin dilupakan ini.

“Ulek Mayang” diterbitkan hasil kerjasama syarikat produksi Langit Terang Productions Sdn Bhd bersama Valus Vision International Film Distribution, iaitu sebuah jenama di bawah syarikat Valus PLT sebagai Penerbit Eksekutif dan Pengedar Antarabangsa di bawah Central City Media yang berpusat di United Kingdom.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page