November 28, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

UKs: Up Close And Personal Bakal Merungkai Kerinduan Muzik Nuansa Balada dan Pop

Spread the love

Ada banyak cerita cinta telah diberikan kumpulan yang dikenali kini dengan nama UK’s, malah antaranya turut tertulis dalam perjalanan sebahagian pendengar yang menjadi peminat setia sejak bertahun-tahun.

Justeru, apa lagi cara untuk kumpulan asal Kuala Lumpur ini membalas sokongan, serta kesetiaan peminat mereka kecuali dengan mendedikasikan satu malam istimewa yang dinamakan UK’s: Up Close and Personal pada 26 Oktober nanti.

Jelas vokalisnya, Amir, persembahan berkonsep showcase dan makan malam, eksklusif untuk 284 tempat duduk itu juga adalah tanda terima kasih kepada peminat yang menjadi tulang belakang kekuatan UK’s selama ini.

“Kesetiaan peminat selama lebih tiga dekad ini buat kami terharu. Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, dipersembahkan UK’s: Up Close and Personal, buat julung kalinya.

“Ia akan menjadi sebuah malam intimasi dengan beberapa kejutan manis yang dirancang, termasuk menjadikan hadirin malam itu orang pertama yang diperdengarkan dengan single baru UK’s berjudul Tak Sangka, hasil ciptaan Saari Amri,” katanya.

Dianjurkan oleh Amir UK’s Entertainment dan Laga Emas, ia mendapat kerjasama Hotel Ideas, Kuala Lumpur bagi lokasi persembahan, manakala Mewah Event Management sebagai rakan strategik. Showcase ini turut menampilkan Azmani sebagai artis undangan.

Pembelian terhad kini dibuka untuk Early Bird pada harga RM250 sebelum bermula penjualan sepenuhnya bagi tiket RM299 (Zon C), RM350 (Zon B) dan RM450 (Zon A). Tiket boleh didapatkan melalui tickets.uks.my

Bagi Premium Ticket berharga RM8,000 semeja untuk lapan orang, penawaran termasuk penginapan percuma satu malam beserta sarapan di Hotel Ideas, dan beg cenderahati berisi beg, mug dan baju T. Sila hubungi Encik Nizal di 01170025255 untuk info lanjut.

Amir mengakui UK’s tidak akan mampu bertahan selama ini tanpa sokongan peminat. “Hati tersentuh apabila ramai peminat mengakui bagaimana cerita cinta, suka duka perjalanan hidup mereka tersimpan di dalam banyak karya UK’s. Ada yang menganggapnya peribadi, seolah-olah lagu-lagu UK’s ini ditulis untuk mereka, ibarat diari mereka,” katanya.

Ditubuhkan seawal 1989 sebagai Ukay oleh Saari, kegagalan album sulung, Tinggal Irama menyaksikan kemasukan Amir pada 1991 yang merakam enam daripada tujuh album UK’s, termasuk Bisa Berbisa pada 1994 yang meraih penjualan tertinggi, ketika itu, dengan lebih 350,000 unit.

Selain Amir, UK’s turut dibarisi Denil sebagai pemain gitar, Olley (bass), Amirul (dram) dan Mus Satira (gitar). Kata Amir, judul seleksi peminat adalah antara lebih 15 judul yang disenaraikan seperti Kekasih di Menara, Siapa Rampas Cintamu, Di Luar Kemampuanku, Tergamak Kau, dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, selain beberapa lagu yang jarang dinyanyikan, namun tetap menjadi siulan.

“Sepanjang persembahan hampir dua jam itu ada sesi beramah mesra, juga acara cabutan bertuah yang menyediakan, antaranya pakej penginapan di Villa Molek, Langkawi. Kehadiran Azmani juga diharap akan memeriahkan lagi malam,” tambahnya.

Turut prihatin dengan situasi semasa yang menimpa penduduk Gaza, menurut Amir, UK’s ingin menggunakan kesempatan pada malam itu untuk menyatakan solidariti terhadap perjuangan saudara Palestin.

“Sebagai tanda solidariti, sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan ke tabung Palestin. Ayuh! Bersama kita jadikan malam UK’s: Up Close and Personal sebagai momen terindah dan penuh makna dalam perjalanan kita,” katanya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page