March 14, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

TVS Meriahkan Aidilfitri Dengan “Pesta Raya TVS”, Sajian Hiburan Dari Ramadan Hingga Syawal

Spread the love

Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang, TV Sarawak (TVS) tampil dengan rangkaian program istimewa menerusi kempen “Pesta Raya TVS”, yang menghimpunkan pelbagai sajian hiburan, inspirasi serta kisah kekeluargaan bagi memeriahkan musim perayaan tahun ini.

Diumumkan dalam satu sidang media khas, kempen itu menampilkan pelbagai kandungan menarik termasuk rancangan hiburan berskala besar, pelancaran lagu raya baharu, filem pendek bertemakan kekeluargaan, program gaya hidup serta tayangan filem istimewa yang bakal menceriakan penonton sepanjang Ramadan hingga ke Syawal.

Antara program utama yang menjadi tumpuan ialah Inspirasi Duniamu, rancangan majalah televisyen yang mengetengahkan kisah komuniti, inspirasi dan cerita masyarakat dari seluruh Malaysia termasuk Sarawak, Sabah serta Semenanjung Malaysia.

Program itu turut menampilkan laporan lapangan, temu bual eksklusif serta naratif visual yang merangkumi pelbagai bidang termasuk sukan, hiburan dan kisah inspirasi masyarakat.

Episod khas pra-Raya Inspirasi Duniamu akan disiarkan pada 18 Mac ini, jam 10 malam, membawa penonton menyelami pelbagai kisah menarik sempena musim perayaan.

Kempen ini turut diserikan dengan program hiburan istimewa “Pesta Raya TVS: Dari KL ke Kuching” yang mengetengahkan kemeriahan sambutan rumah terbuka Aidilfitri dengan konsep santai penuh muzik dan gelak tawa.

Program itu dihoskan oleh Ghazali Zawawi dan Sharifah Shahira serta menampilkan barisan artis popular seperti Aina Abdul, Mimi Fly, Bob Yusof, Marsha Milan, Liza Aziz, Khai Bahar dan Sharifah Zarina.

Turut membuat penampilan ialah Daniesh Suffian, Mawat dan Hanif Arip selain kehadiran tokoh industri hiburan seperti Ramli M. S., Jalaluddin Hassan, Roy Azman, Raja Azura, Rita Rudaini dan Sharifah Shahora.

Program itu menghubungkan kemeriahan Aidilfitri antara Kuala Lumpur dan Kuching sekali gus menggambarkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia yang meraikan Syawal walau berada di lokasi berbeza.

“Pesta Raya TVS: Dari KL ke Kuching” akan disiarkan pada Hari Raya pertama dan kedua jam 9 malam di TVS.

Dalam pada itu, TVS turut melancarkan lagu raya baharu berjudul “Raya Paling Epik” yang menampilkan kolaborasi penyanyi muda iaitu Daniesh Suffian, Mawat dan Hanif Arip.

Lagu berirama pop ceria itu membawa mesej perpaduan dan kebersamaan dalam menyambut Aidilfitri, sekali gus mengajak masyarakat daripada pelbagai latar belakang meraikan Syawal bersama.

Video muzik lagu itu dilancarkan pada 27 Februari lalu dan kini boleh ditonton di semua platform media sosial rasmi TVS.

Turut menjadi perhatian ialah filem pendek raya berjudul “Gambar Raya Paling Epik” yang mengisahkan seorang remaja bernama Saiful yang berusaha merakam gambar raya paling hebat untuk menyertai pertandingan fotografi.

Namun dalam usaha mengejar impian itu, dia akhirnya menyedari bahawa kebahagiaan sebenar bukan terletak pada pencapaian peribadi semata-mata, tetapi pada momen indah bersama keluarga tersayang.

Filem pendek itu menampilkan lakonan Atiq Azman dan Fauziah Nawi dan akan ditayangkan pada malam Hari Raya Aidilfitri jam 9 malam di TVS.

Bagi memeriahkan lagi sambutan Syawal, TVS turut menganjurkan Peraduan Gambar Raya Paling Epik 2026 yang mengajak orang ramai berkongsi gambar raya paling kreatif mereka di media sosial.

Peserta hanya perlu memuat naik gambar menggunakan lagu “Raya Paling Epik” sebagai latar muzik serta menggunakan tanda pagar #GambarRayaPalingEpik, #RayaPalingEpik dan #TVS122.

Peraduan itu berlangsung dari 15 hingga 29 Mac ini dengan hadiah wang tunai sehingga RM800 menanti pemenang utama.

Selain itu, program khas “Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri” menampilkan Siti Zawawi sebagai hos yang membawa penonton menyelami dunia fesyen dan kecantikan sempena Syawal bersama selebriti jemputan seperti Mimi Fly, Liza Aziz dan Nabila Huda.

Program itu akan disiarkan pada 25 Mac ini, jam 8.30 malam.

Sementara itu, program bual santai popular “3 Mak Dara” kembali untuk musim kedua dengan menampilkan Raja Azura, Sharifah Shahora dan Rita Rudaini sebagai hos utama.

“3 Mak Dara Musim 2” akan mula bersiaran pada 1 April ini, setiap Rabu jam 8.30 malam.

Bagi melengkapkan lagi kemeriahan musim perayaan, TVS turut menyiarkan pelbagai filem menarik antaranya Senario The Movie Ops Pocot, Senario Asam Garam, Rompak Raya, Demi Raya, Perfect Raya, Raya Sebagai Isteri, Kurung Kerawang Untuk Adik, Takbir Semalam dan Musafir Ke? yang akan ditayangkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad jam 8.30 malam.

Selain itu, rancangan khas “Dialog TVS: Perayaan & Perpaduan – Tradisi Menyatukan Malaysia” turut disiarkan pada 26 Mac ini, jam 10 malam bagi membincangkan peranan sambutan perayaan dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Dengan pelbagai sajian hiburan dan inspirasi, kempen “Pesta Raya TVS” diharap mampu membawa kemeriahan Aidilfitri ke layar kaca serta mengeratkan lagi semangat kebersamaan rakyat Malaysia sepanjang musim perayaan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page