TVS Lebar Sayap Jadi Stesen Nasional, Intai Pasaran Jepun & Indonesia

TV Sarawak (TVS) kini mengorak langkah lebih besar untuk memperkukuh jenamanya sebagai stesen televisyen nasional dengan rancangan meluaskan jangkauan ke pasaran antarabangsa, termasuk Jepun dan Indonesia.
Ketua Kandungan Kreatif Sarawak Media Group Sdn Bhd (SMG), Jamal Abdullah berkata, hala tuju baharu itu akan menyaksikan kandungan TVS lebih bersifat nasional, tanpa mengehadkan diri kepada penjenamaan Sarawak semata-mata.
“Kami mahu keluar daripada penjenamaan menumpukan kepada Sarawak saja. Dari segi bahasa pun, kami pastikan ia boleh difahami semua rakyat Malaysia. Kalau ada loghat, ia mesti disertakan terjemahan bahasa Melayu. Usaha itu sedang diperbaiki bagi menakluk penonton seluruh negara,” katanya pada sidang media TVS Spotlight 25/26.
Menurutnya, selain mengekalkan identiti Borneo, integrasi program dari Semenanjung dan Sabah juga diberi keutamaan bagi memastikan pengalaman penonton lebih menyeluruh.
Beliau menambah, TVS turut menjalin kerjasama luar negara untuk tujuan eksport program, khususnya kandungan dokumentari, majalah, etnik dan pengembaraan yang mendapat sambutan positif daripada stesen penyiaran seperti Channel News Asia (CNA) di Jepun dan Jakarta.
Pengerusi merangkap Presiden TVS/SMG, Datuk Norhyati Ismail berkata, tahun 2026 bakal menjadi fasa penting apabila TVS memperkenalkan rangkaian program baharu termasuk Gerak Khas 2.0, drama tempatan, rancangan realiti, dokumentari serta liputan langsung acara sukan antarabangsa seperti Sukan SEA, perlawanan Harimau Malaya dan Piala Carabao.
“Matlamat kami adalah meningkatkan visibiliti jenama TVS di pasaran nasional serta memperkenalkan kandungan baharu yang segar untuk 2026. Melalui pengenalan program dan peluang penajaan ini, kami berharap dapat menarik lebih banyak rakan kongsi strategik sekali gus memperkukuh pengaruh TVS di peringkat serantau,” katanya.

Dalam majlis itu, TVS turut memperkenalkan pakej penajaan menyeluruh (360°) yang merangkumi televisyen, digital, sosial serta papan iklan LED berimpak tinggi, dengan sokongan rakan media seperti Suara Sarawak, Sarawak Tribune dan Cats FM.
Setakat ini, lebih 300 vendor tempatan telah bekerjasama dengan TVS, yang sekali gus mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam sektor kreatif.
Norhyati berkata, sasaran penonton TVS kini meliputi seluruh Malaysia, selain misi memperluas pengaruh ke pasaran serantau.

“TVS Spotlight 25/26 akan membuka lembaran baharu kerjasama strategik bersama klien, penaja dan media untuk membina industri penyiaran yang inklusif, dinamik dan berimpak tinggi,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam, serta barisan klien dan kakitangan TVS.