TRIAD: Idea ‘Gila’ Awie
Wings, Search KidDin dan Dragon Malaya Punya ‘SATU’ Vokalis, Bakal Berlangsung di Zepp Kuala Lumpur Pada 14 Februari 2025
Foto Kredit: Pa Pa Din / Fendy Ghafar / MegatzReview
Mungkin kedengaran ‘janggal’, namun ironinya ia merupakan anjakkan atau lebih tepat percaturan ‘gila’ tetapi berani daripada Rumah Produksi Merah dan Dato’ Awie. Selain mencabar keupayaan, energi dan kekuatan vokal Awie ianya juga dilihat bakal mencipta fenomenanya yang tersendiri.
“Mengabungkan 3 kumpulan, Wings, Search KidDin dan Dragon Malaya di atas sebuah pentas dengan seorang vokalis ianya adalah idea gila yang rasanya belum pernah dibuat orang”, ujar Dato Awie sewaktu sidang media konsert TRIAD di Maristar Bukit Bintang pada 17 Disember 2024 baru-baru ini.
“Saya sudah terfikir tentang TRIAD ini sewaktu sessi latihan bersama Search dalam persiapan konsert Apologia (2020), konsert Bikin Wilayah (2021) dan konsert Cinta Buatan Malaysia (2020) tetapi semua tak menjadi. Sewaktu dalam tempoh PKP itu, saya terfikir apa langkah seterusnya yang harus dibuat untuk mewarnai industri”, katanya.
TRIAD adalah penyatuan yang menyatukan bunyi, energi, jiwa dan semangat rock sebenar. Bukan sekadar konsert, tetapi satu malam yang akan mencipta sejarah dan semangat rock akan terus menyala.
Dato’ Awie yang pernah merakamkan sebuah album bersama Search pada tahun 1998 yang diberi judul ‘Bikin Wilayah’, berpuluh album bersama Wings dan sebuah album berjudul ‘Rentap’ yang diiringi oleh Dragon Malaya dengan lagu ikonik seperti “Kuda Tiga Kaki” dan “Bumi Kita Ada Naga”. Dragon Malaya kini dianggotai oleh Lan Taro, Eddie DefGabC dan Pae.
“Mungkin momen ini saya dapat kongsikan rezeki bersama-sama kumpulan yang pernah naik turun, suka duka dan pahit manis bersama dengan saya. Untuk menjadikan konsert TRIAD ini realiti, saya perlukan doa, fokus, dedikasi dan komitmen untuk memastikan kesihatan serta stamina saya berada di tahap maksima”, ujar Dato’ Awie.
Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali dengan nama pentas, Awie turut mengulas lanjut mengenai konsep yang bakal diterjemahkan di pentas Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari 2025 itu nanti.
Konsert akan dimulakan dengan band Wings, Dragon Malaya dan Search KidDin. Pada malam tersebut meski ada 3 band tetapi mahu menerapkan rasa kekeluargaan pada setiap band dengan menjadikan muhibah pada persembahan dimana tidak akan diperkenalkan setiap band kerana semua sudah sedia maklum.
“Muzik dari 3 band menjadi satu, berhenti hanya seketika untuk memberitahu lagu, bertujuan untuk mewujudkan rasa satu family dan untuk peminat menilai sendiri perbezaan 3 warna dan 3 rasa dalam konsert yang sama. Dalam nada penuh pengharapan Dato’ Awie benar-benar meletakkan 100% komitmen untuk membuktikan keberkesanan idea dan formula yang dibawa oleh TRIAD. Target utama adalah generasi baru dalam usaha memperkenalkan sekaligus menarik minat mereka
Search KidDin yang cukup teruja dengan idea Dato’ Awie ternyata seakan tidak sabar untuk menanti ‘DDay’ dimana segalanya bakal diterjemahkan menerusi ‘manifesto’ TRIAD.
“Saya agak berdebar pada mulanya apabila diberitahu tentang idea ini oleh Dato’ Awie. Saya rasa ini adalah sesuatu yang gila. 1 penyanyi, 3 band, tak pernah dibuat orang.” ujar Din mewakili Search pada petang itu.
“Saya harap kita ramai-ramai ‘hentam’ lah malam tu nanti. Ini juga adalah gantian kepada perancangan konsert yang tak menjadi sebelum ini. Sehingga sekarang saya masih berdebar sebenarnya, ini memang kerja gila. Malam itu nanti akan marathon 30 buah lagu, siapa yang terlepas memang rugi.” Tambahnya.
Eddie yang juga merupakan bassis kumpulan Wings tanpa kompromi bersetuju dengan apa yang diunjurkan oleh Awie yang juga vokalis kumpulan ikonik itu.
“Kami sangat berbangga dengan kemampuan yang ada pada vokalis kami. Tidak pernah bimbang kasih beralih arah kerana dia adalah penyanyi kesayangan ramai, penyanyi Rock nombor satu di Malaysia. Bukan bodek tapi kenyataan. Kasih sayang yang tercurah kepada Wings adalah sepenuh jiwa raganya. Wings bangga kerana kami dapat berkongsi rezeki dengan rakan-rakan yang lain. Jom ramai-ramai turun padang ke konsert TRIAD ini, kami akan berikan the best of Wings pada malam itu nanti.” Ujarnya.
“Ketika saya, Pae dan Lan dapat tahu Dato’ Awie merancang hendak buat konsert ini, kami terkejut. Idea gila tapi tidak mustahil. Bukan hanya kami 3 band ini tahu bagaimana kemampuan Dato’ Awie, ramai yang sudah sedia maklum. Mengenali Dato’ Awie seorang yang sangat komited, rajin berlatih, kalau boleh hari-hari hendak mengukuhkan kemantapan vokal beliau”, ujar Eddie yang mewakili Dragon Malaya.
Bakal bergema di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari 2025 jam 8.30 malam, konsert TRIAD akan mencatat sejarah dalam The Malaysian Book of Records: dengan 1 penyanyi utama mengendalikan 3 kumpulan rock gergasi di atas pentas yang sama secara serentak buat julung kalinya.
“Perkara ini kita sudah maklumkan kepada pihak The Malaysia Book of Records, mereka juga teruja dengan apa yang bakal berlaku dan pihak berkenaan akan ‘turun padang’ bagi memastikan segala kritiria dipenuhi”, ujar Dato Eddy Amir Salim, Penaung Rumah Produksi Merah.
Tiket untuk konsert TRIAD sudah mula dijual 7 Disember lalu dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web https://rpm.ubertickets.asia/
Maklumat tiket: Kategori 1 (standing): RM258, Kategori 2 (standing): RM188, Kategori 3 (numbered seating): RM788, Kategori 4 (numbered seating): RM438, VIP BOX: RM10,000. Kelebihan bagi para pembeli tiket Kategori 3 akan mendapat Goodies manakala bagi pembeli VIP Box pula akan mendapat sesi Meet & Greet, hidangan F&B Buffet serta Goodies.