Transisi ‘Luar Biasa’ Rizky Febian
Meskipun pernah ‘meragut’ lebih 2400 peminat ketika mengadakan persembahan sulungnya di Malaysia tahun lalu, itu tidak bermakna peminat setianya terus ‘menyusut’ bilangannya. Lebih membanggakan mania Rizky Febian terus ‘bercambah’ saban hari.
Konsert An Album Live Concert: Berona Day anjuran Hitman Solution yang berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 4 November lalu telah dihadiri lebih 4000 peminat yang cukup setia menanti persembahan Rizky Febian.
Inilah Transisi seorang figura anak muda yang mempunyai bakat luar biasa, bukan sahaja amat dikagumi oleh segelintir artis mahupun selebriti popular Indonesia, bahkan kebolehan menulis dan mencipta karya meletakkan Rizky Febian berada dalam kelasnya tersendiri.
“Saya masih tidak boleh ‘move on’ terhadap konsert lalu dan mahu menghiburkan lagi peminat di Malaysia kerana sokongan mereka yang tidak berbelah bagi, dan buktinya pada malam Berona Day ini, penuh ‘rona’ melalui lagu-lagu yang saya sampaikan buat semua penonton,” kongsi pemilik nama sebenar, Rizky Febian Adriansyah Sutisna
Konsert yang berkonsepkan album ini merupakan siri jelajah rangka mempromosikan album kedua Rizky berjudul ‘Berona’ yang dilancarkan pada 21 Julai tahun ini. Album yang mengandungi 10 buah lagu baharu ini adalah hasil kolaborasi 3 pemuzik Indonesia, Gangga, Teddy Adhitya dan Basboi.
Bertemakan cinta yang diambil dari album ‘Berona’, konsert, An Album Live Concert, Berona Day: Rizky Febian, telah berlangsung selama hampir 2 jam dengan mempersembahkan 18 buah lagu yang nyata menampakkan sisi matang Rizky berbanding konsert sebelumnya.
Antara lagu yang dipersembahkan adalah Berona, Luka, Kesempurnaan Cinta, Indah Pada Waktunya, Ego, Seperti Kisah, Selaras Kata, Ragu, Terpesona, Membisu serta lagu-lagu hits Rizky yang terdahulu.
Ketika menyampaikan lagu Indah Pada Waktunya Rizky terlihat ada peminatnya berdepan masalah pernafasan, lantas beliau menghentikan persembahan dan meminta pasukan perubatan di situ untuk memberikan bantuan.
Setelah berpuas hati dengan situasi peminatnya, Rizky kembali meneruskan persembahan. Ternyata apa yang di lakukan olehnya bukan hanya sebagai penghibur malah cakna dengan situasi semasa.
Rizky juga berindak sebagai pengarah muzik bagi konsertnya sendiri bagi memberi peluang kepada khalayak merasai sendiri warna nyanyian yang berbeza dan lebih dewasa yang disampaikan Rizky.
“Dari segi susunan muzik, saya sendiri yang menentukan ‘warnanya’ sesuai dengan usia saya yang semakin meningkat turut diiringi 10 barisan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia”, ujarnya
Membawakan lagu-lagu ‘berhantu’ sejak permulaan kariernya dari tahun 2015, Rizky berjaya membuat persembahan yang cukup luar biasa lantas membuai perasaan khalayak yang sekaligus mengubat kerinduan kepada pemilik nama pentas Rizky Febian ini.