ToYm 2025 Angkat Bakat Muda Serantau dalam Penulisan Skrip dan Drama Mikro

Dunia kreatif Malaysia terus menyinar apabila Thousands of Years Media (ToYm) dengan kerjasama Sunstrong Entertainment, ToYm Wardrobe, WMD dan Flowers.com.my, melabuhkan tirai Pertandingan Penulisan Skrip Drama Mikro dan Pertandingan Drama Mikro Terbaik ToYm dengan penuh gemilang pada malam Ahad, 15 Jun 2025.
Majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Majestic Marine Ballroom @ Confetti KL, Mines 2, diserikan dengan kehadiran lebih 300 tetamu terhormat yang terdiri daripada penggiat industri filem, pencipta kandungan, serta wakil media dari dalam dan luar negara. Ia bukan sekadar sebuah majlis anugerah tetapi menjadi pentas penting buat kebangkitan bakat baharu dalam penulisan skrip dan penerbitan kandungan digital berskala mikro.
Sejak penyertaan dibuka, kedua-dua pertandingan menerima lebih 300 penyertaan dari Malaysia, China, Hong Kong dan Taiwan sekali gus memperlihatkan impak dan pengaruh ToYm yang semakin kuat di peringkat serantau.
Pengasas ToYm dan Sunstrong Entertainment, Jment Lim, dalam ucapannya berkata, dunia tidak perlu sempurna untuk mencipta perubahan.
“Selagi kita sanggup bertanggungjawab dan melakukan bahagian kita, kita tetap mampu menjadikan dunia ini lebih baik sedikit demi sedikit,” ujar beliau penuh semangat.
Menurut beliau lagi, inisiatif seperti Pertandingan Idol Bintang Baharu ToYm, Pertandingan Penulisan Skrip dan Pertandingan Drama Mikro telah menjadi jambatan penting dalam melahirkan dan mengetengahkan bakat tempatan ke persada antarabangsa.
Antara kejayaan besar ToYm dan Sunstrong termasuklah pencapaian filem Snow in Midsummer yang memenangi dua anugerah berprestij Uncaged Award for Best Feature Film di Festival Filem Asia New York ke-23 dan Firebird Award for Best Film di Festival Filem Antarabangsa Hong Kong ke-48. Filem itu turut dipilih untuk tayangan khas di Festival Filem Antarabangsa Venice, membawa naratif Malaysia ke pentas global.
Sementara itu, drama mikro In Character berjaya mencipta sejarah sebagai drama mikro berbahasa Cina pertama di Malaysia, dengan lebih 14 juta tontonan, sekaligus menetapkan penanda aras baharu dalam industri kandungan digital negara.

Majlis turut menyaksikan pelancaran rasmi Fatimah Noryyah sebagai artis wanita pertama ToYm. Persembahannya memukau hadirin dengan vokal mantap dalam tiga bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris menerusi lagu Always Remember Us This Way, Bukan Cinta Biasa, dan Tibetan Plateau.
Kemunculan Fatimah disifatkan sebagai simbol kepada komitmen ToYm dalam memperkasakan bakat versatil tempatan yang bersedia untuk pasaran serantau dan antarabangsa.

Jment Lim turut mengumumkan perancangan ToYm untuk menerbitkan sekurang-kurangnya lima lagi drama mikro baharu dengan kepelbagaian genre, termasuk drama mikro berbahasa Melayu serta bertemakan perayaan menzahirkan usaha memperluas keterangkuman budaya dan penonton.
SENARAI PEMENANG PERTANDINGAN PENULISAN SKRIP DRAMA MIKRO TOYM
- Hadiah Utama: Murderous Girl – RM30,000
Naib Juara: The Invisible Killer – RM20,000
- Sagu Hati (RM5,000 setiap satu):
- GOKILL
- Kepada Pelajar Baru (To New Students)
- Office Battle Royale
- A Very Tiring Day
- Healing Hearts
SENARAI PEMENANG PERTANDINGAN DRAMA MIKRO TERBAIK TOYM
- Hadiah Utama: The Girl from the Other Side of the Galaxy
- Pencipta: Yap Khai Jing – RM100,000
- Naib Juara: STEP BACK
- Pencipta: Khairi Hizami Bin Zalani – RM50,000
- Sagu Hati (RM10,000 setiap satu):
- The Delivery Vault – Emagina Studio
- Devour – Chew Huat Yeow
- Miss Ctrl+Z – Felix Tai Voon Beng
- Satu Malam di PJ – Haffez Amin / Codils Media and Rights Eye Army Legacy
- She Is Coming – Goh Cheng How
Acara ini menjadi bukti bahawa Malaysia tidak pernah kekurangan bakat – hanya memerlukan ruang, peluang, dan platform seperti yang disediakan oleh ToYm untuk menyemarakkan percikan kreatif yang berpotensi mengubah landskap seni dan kandungan kita.