Tomok Angkat Kasih Ibu Bapa Menerusi “Buah Hati”
Penyanyi dan komposer popular tanah air, Tomok, membuka tirai tahun 2026 dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Buah Hati”, sebuah karya berteraskan nilai kekeluargaan, kasih sayang dan keikhlasan emosi yang merentasi generasi.
Dicipta oleh Tomok bersama Barr Hadif, dengan lirik hasil sentuhan Fedtri Yahya, lagu ini mengangkat makna kasih sayang ibu bapa yang tulus dan tanpa syarat dimana ianya merangkumi pengorbanan, perlindungan serta doa agar anak-anak membesar dengan baik, kuat dan bahagia.
Menurut Tomok, “Buah Hati” merupakan karya yang sangat dekat di hatinya dan diciptakan berlandaskan pengalaman serta nilai kekeluargaan yang menjadi teras kehidupannya.

“Alhamdulillah, ini permulaan yang baik untuk tahun 2026. ‘Buah Hati’ adalah sebuah lagu yang sangat dekat di hati saya dan diciptakan khas buat keluarga serta mereka yang saya sayangi. Gabungan melodi dan lirik menjadikan lagu ini sesuatu yang istimewa dan saya berharap ia dapat diterima dengan baik oleh semua peminat,” katanya.
Sebagai pelengkap kepada mesej lagu, Tomok turut tampil dengan video lirik rasmi yang mengetengahkan foto-foto peminat bersama insan tersayang, dihantar sendiri oleh mereka. Inisiatif ini mencerminkan usaha penyanyi itu untuk mendekati peminat secara lebih peribadi, di samping meraikan nilai kebersamaan dan hubungan emosi yang terjalin antara artis dan penyokong.
Tomok, atau nama sebenarnya Shah Indrawan, memulakan kerjaya seni seawal usia 15 tahun bersama kumpulan NEW BOYZ sekitar 1999. Kejayaannya menjuarai program realiti One In A Million kemudiannya mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura penting dalam industri muzik tempatan sehingga kini.
Sebelum pelancaran “Buah Hati”, Tomok turut tampil dengan beberapa rilisan terbaharu termasuk kolaborasi bersama Siti Nordiana menerusi lagu Memori Mungkin Berulang serta Gelora Jiwa Meronta Asmara, yang menerima sambutan positif daripada peminat.
Selain aktif sebagai penyanyi, Tomok juga mengembangkan kerjaya sebagai komposer dan usahawan seni menerusi penubuhan Popsicle Records pada 2018. Label itu berjaya menganjurkan konsert di dalam dan luar negara sepanjang 2023 dan 2024, selain menerbitkan karya muzik pelbagai artis. Tomok juga pernah menghasilkan lagu untuk beberapa artis terkenal termasuk sebuah karya dalam album Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Single “Buah Hati” diterbitkan oleh Popsicle Records dan diedarkan secara digital di bawah label Luncai Emas, yang turut mentadbir hak cipta lagu dan lirik. Tomok kini merupakan komposer eksklusif di bawah Luncai Emas.
“Buah Hati” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala video lirik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Popsicle Records
