September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Tim Bola ‘Karyawan Football Club’ Mantap Dengan Ikonik Bola Sepak Negara Selain Tajaan Jersi Pasukan

2 min read
Spread the love

Oleh : Rafidah White Abu Samah

Bersesuaian dengan hasrat DBKL menyediakan Santai Seni@TAR untuk dijadikan hub bagi pelbagai program bersesuaian hujung minggu ke 2 dan ke 4 setiap bulan, pihak Persatuan Karyawan Malaysia atau lebih dikenali sebagai KARYAWAN baru-baru ini telah mencuri tumpuan para pengunjung di sepanjang Jalan Tunku Abd Rahman KL dengan kelibat beberapa ikonik bolasepak negara seperti Dato Dollah Salleh, Dato Subadron Aziz dan Faiz Subri (Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016).

Ketiga-tiga bintang bolasepak tersebut kemudian dilihat hadir bagi memeriahkan Majlis Pelancaran Pasukan Bolasepak KARYAWAN yang mana mereka turut menjadi sebahagian dari pasukan dengan bertindak sebagai pemain ‘cameo’ selain turut menjadi Penasihat Pasukan.

“Dahulunya KARYAWAN agak aktif dan telah menerima pelbagai pelawaan bagi perlawanan persahabatan dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak terutamanya pasukan bolasepak dan bowling. Namun ianya terhenti agak lama disebabkan pelbagai keadaan terutama selepas pemergian biro sukan kami arwah Datuk Dahlan Zainuddin diikuti dengan situasi negara dilanda pandemik beberapa tahun dahulu.

“Hairee Kool kemudiannya datang berjumpa dan menyarankan agar pasukan bolasepak KARYAWAN diaktifkan kembali dengan mengemukakan barisan pemain hebat yang terdiri dari para selebriti. Dalam masa yang sama kami turut menjemput rakan-rakan rapat persatuan yang terdiri dari ikon bolasepak negara seperti Dato Dollah Salleh, Dato Subadron Aziz dan Faiz Subri sebagai penasihat pasukan selain turut membuat penampilan pada mana-mana siri perlawanan yang bersesuaian. Ianya kombinasi yang hebat dan gah bagi pasukan ini,” ujar Presiden KARYAWAN, Dato Freddie Fernandez.

“Ini adalah ruang kami rakan-rakan artis untuk merapatkan lagi ukhwah dan terus kekal sihat. lanya aktiviti yang amat kami gemari dari zaman remaja dan pastinya riadah sebegini juga satu ruang bagi para peminat untuk bertemu kami di padang bola. “Nak tengok Johan Raja Lawak, Anye Yassin dan rakan-rakan artis lain buat ‘lawak’ gelecek bola, silalah jemput KARYAWAN Football Club ” , ujar Hairee Kool selaku Kapten dan Koordinator Pasukan.

Di majlis ini juga, ‘KARYAWAN Football Club’ telah menerima sumbangan berbentuk jersi rasmi pasukan tajaan dari syarikat Panca Abadi Automobil Sdn Bhd yang diserahkan sendiri Pengarah Urusannya, Isma Azad Hazari. Barang tajaan lain turut diterima dari syarikat ANH Premium Slipper.

Dato Freddie turut mengalu-alukan kepada mana-mana pihak yang ingin menjemput ‘Pasukan KARYAWAN Football’ untuk mengadakan sesi perlawanan persahabatan atau seumpamanya. “Boleh hubungi terus Koordinator Pasukan iaitu Hairee Kool di talian 011 64595069 atau saya sendiri di talian 012 2071400. Kebiasaannya kami akan mengenakan ‘fee’ dalam kadar tertentu sebagai bayaran token kepada pemain selebriti ini dan beberapa persen akan dimasukkan ke Tabung Kebajikan KARYAWAN, bagi membantu golongan artis yang uzur dan yang menghadapi masalah”.

“Kami mahu terus berseni dengan badan yang lebih sihat”, ujar Dato Freddie Fernandez bersemangat mengakhiri perbualan.

Senarai pemain ‘KARYAWAN Football Club’ terdiri daripada : Hairee Kool, Lan Zailan, Riot Kool, Raja Izzuwin, Riyad, Taufik Khan, Along Jeff, Betto Khai, Daniel, Meerqeen, Tony Tuah, Aidil Aziz, Hasnol, Johan Raja Lawak, Wan, Anye Yassin, Shahrul, Azrul, Osama Yamani, Mamak RL.

Pemain ‘Cameo’/Penasihat Pasukan : Dato’ Dollah Salleh, Dato’ Subadron Aziz, Faiz Subri.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page