Tiket Konsert 60an Harga ‘Rahmah’
Bercerita mengenai zaman 1960-an, pasti ramai yang akan terbayang pakaiannya, kaca mata hitam, Vespa dan muzik pop yeh yeh. Sehingga kini lagu 60-an terus menjadi ‘evergreen’. Ia kekal segar dan diminati ramai tidak kira peringkat usia.
Bagi mengembalikan semula kenangan dan nostalgia tersebut, Warisan Sound akan menganjurkan festival dan konsert 60an di Warisan Hall Studio, Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Selangor pada 7 dan 8 Oktober bermula jam 11 pagi sehingga 12 malam.
“Festival dan Konsert 60an @Warisan Hall adalah untuk persembahan berkonsep lagu-lagu 60an dan klasik dengan menampilkan penyanyi-penyanyi atau artis yang memperjuangkan dan muncul pada era 60an serta digandingkan dengan penyanyi-penyanyi atau artis muda tempatan yang menjadi pelapis memperjuangkan dan tampil dengan imej lagu-lagu 60an dan klasik”, ujar Mohd Khair Ghazali ketika sidang media konsert berkenaan yang di adakan di Warisan Hall baru-baru ini.
“Warisan Sound yakin dan percaya bahawa gandingan dan penampilan artis-artis yang mengapungkan lagu-lagu 60an dan klasik adalah inisiatif yang unik, menjadi platform aprisiasi kepada artisan 60an dan aspirasi buat artisan muda yang menjadi penerus atau pelapis genre muzik dan lagu-lagu irama 60an”, ujarnya lagi.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Warisan Sound menjelaskan bahawa ianya bukan sekadar konsert semata-mata tetapi ianya adalah festival yang bakal diisi dengan pameran 60an dan gerai jualan untuk pengunjung. Lebih menarik penonton berpeluang menikmati makanan dan minuman yang disediakan khas secara percuma.
“Konsert ini dijalankan dua kali atau dua malam di Warisan Hall Studio secara fizikal dan boleh diakses melalui siaran premium YouTube bertiket. Rakaman konsert turut dijadikan sebagai kandungan digital saluran YouTube Warisan Records dan Wak Tv Warisan.”
“Dijalankan 2 hari, bermula 11.00 pagi hingga 12.00 malam. Pada waktu siang persembahan dibuka kepada semua kumpulan band dengan syarat mestilah memainkan lagu 60an. Persembahan dapat disaksikan di luar dan dalam Warisan Hall Studio”, ujarnya.
Sementara itu Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman atau lebih dikenali dengan Datuk Jeffrydin menyifatkan usaha Warisan Sound untuk terus memartabatkan muzik 60an adalah satu ‘journey’ buat peminat baharu yang ingin mengetahui dengan lebih dekat tentang muzik tersebut.
“Bagi saya, usaha Haji Khair wajar di contohi malah badan-badan berkaitan yang berada di luar sana seharusnya mengambil inisiatif sebegini demi mengekalkan nuansa muzik 60an itu sendiri”, ujar Datuk Jeffrydin.
“Saya juga berharap agar peminat yang datang ke konsert itu nanti dapat menggayakan fesyen 60an demi menghidupkan lagi suasana itu”, tambah beliau
Selain Datuk Jeffrydin peminat juga bakal dihiburkan oleh J. Sham, S. Mariam, Wak Mustar A. Rozainie Razali, Ahmad Yassin, Kugiran Wak Jeng, The Zurah, Malaya Boy Band, Somestimes Group, kumpulan The Majlis, bakat remaja Adik Shahaddad dan Adik Damia.
Konsert yang bakal berlangsung selama dua malam boleh di tonton di Warisan Hall Studio secara fizikal dan boleh diakses melalui siaran premium YouTube bertiket. Rakaman konsert turut dijadikan sebagai kandungan digital saluran YouTube Warisan Records dan Wak Tv Warisan.
Festival dan Konsert 60an @Warisan Hall adalah sokongan penuh oleh Kementerian Komunikasi Dan Digital Malaysia melalui Kumpulan Mycreative Ventures di bawah Dana Persembahan Muzik, Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik 2023. Dana Persembahan Muzik ini memberi tumpuan untuk penganjuran acara berbentuk persembahan atau konsert muzik awam yang mengetengahkan bakat-bakat tanah air. Peminat yang ingin menyaksikan konsert boleh mendapatkan tiket yang berharga RM25 dan RM10 (online streaming).