TIGA IS3, Gandingkan Adriana Adnan, Uyaina Arshad & Syamim Freida
Foto Kredit: PaPa Din
TIGA IS3, sebuah realiti show terbaharu yang menampilkan Adriana Adnan, Uyaina Arshad dan Syamim Freida bukan sahaja mengambil pendekatan menghibur tetapi dalam masa yang sama menyajikan banyak input menarik dalam kehidupan seharian.
Mengambil idea dan pendekatan seperti rancangan 3R yang pernah popular sekitar tahun 2000, Tiga Is3 yang diambil daripada frasa tiga isteri akan menyajikan banyak kisah menarik terutama kisah rumah tangga dan kehidupan seharian dalam mendepani situasi semasa yang semakin mencabar.
Kebanyakan topik yang dikupas tidak hanya tertumpu kepada isu semasa tetapi lebih kepada isu rumah tangga, perkahwinan muda dan beberapa topik penting memandangkan mereka bertiga berstatus seorang isteri.
Ketika ditemui di sidang media Tiga Is3 di The Majapahit Restaurant Arcoris Mont Kiara pada 20 September lalu, Adriana menyifatkan Tiga Is3 sebagai wadah utama untuk mereka berkongsi pengalaman dan cabaran dalam melayari kehidupan seharian.
“Ketiga-tiga kami berstatus isteri dan pastinya semua pihak ada cabaran dan kisah tersendiri yang sudah dilalui. Jadi kami gunakan Tiga Is3 ini sebagai medium untuk berkongsi cerita agar dapat dijadikan panduan oleh mereka di luar sana.
“Apa yang pasti ia bukan sebuah program kompleks dan serius. Semuanya dilakukan secara santai tetapi penuh manfaat yang boleh dijadikan panduan untuk semua,” kata Adriana.
Tidak sekadar berkongsi cerita, Tiga Is3 yang diambil daripada frasa tiga isteri ini turut memuatkan segmen cabaran dan denda yang perlu dilalui apabila kalah.
Mereka diberikan cabaran seperti perlu membeli barang dengan sejumlah wang di sebuah pasar basah dan yang gagal akan didenda seperti perlu mencuci motosikal- sesuatu yang jarang dilakukan oleh golongan wanita.
Jelas Uyaina pula, dia begitu teruja saat diberikan cabaran memandangkan mereka perlu melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan dalam kehidupan seharian.
“Memang ini antara segmen yang paling menarik dalam setiap episod. Bayangkan kami diberikan pelbagai cabaran untuk dilakukan dalam masa yang singkat. Sesiapa yang gagal akan didenda dengan pelbagai cabaran baharu.
“Banyak perkara yang kami sendiri tidak pernah lakukan selama ini. Dengan pelbagai cabaran yang diberi, ia memberikan pengalaman baharu buat kami bertiga,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.
Menariknya. Uyaina sendiri banyak berkongsi cerita bagaimana dia menguruskan kerjaya dan rumah tangga terutamanya cabaran membesarkan anak-anak yang disifatkan sebagai sebuah perjalanan yang amat berharga buatnya.
Bagi Syamim pula, dia tidak melihat ini sebagai sebuah program semata-mata, sebaliknya lebih kepada ikatan persahabatan memandangkan mereka bertiga memang mempunyai hubungan yang rapat sejak dahulu.
Paling mengujakan bekas pengacara HLive ini apabila mereka sama-sama masuk ke studio rakaman untuk merakamkan lagu Permata yang dijadikan lagu tema program Tiga Is3.
“Berawal untuk penggambaran program, ada yang mencadangkan supaya kami merakamkan sebuah lagu OST (runut bunyi). Kenapa tidak kan? Ini juga merupakan pengalaman pertama untuk kami semua
“Walaupun gugup tetapi kami berjaya merakamkan Permata dalam masa yang singkat. Harapnya, program ini akan menjadi inspirasi kepada semua untuk terus menyebarkan kebaikan…” kata Syamim.
Diterbitkan oleh FYP Media, Tiga Is3 yang berdurasi selama 30 minit akan mula ditayangkan mulai 22 September sempena Wife Appreciation Day yang disambut pada minggu ketiga bulan September. Sebagai permulaan, tiga episod akan ditayangkan setiap hari Ahad, pada jam 5 petang menerusi saluran YouTube FYP Media.
Manakala lagu Permata ciptaan Omar K dan Iqie Huges pula akan berada disemua pelantar digital bermula 20 September dan lirik video pula boleh ditonton melalui YouTube yang sama.