December 13, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Tiga Dekad Couple Disambut Dalam Konsert COUPLE30

Spread the love

Kumpulan power pop tempatan, Couple, akan mengadakan konsert khas COUPLE30 pada 6 Disember 2025 di Menara PT80 DBKL bagi meraikan ulang tahun ke-30 penubuhan mereka.

Ditubuhkan pada 1995, kumpulan itu dikenali sebagai antara perintis muzik indie negara yang membina nama tanpa sokongan radio arus perdana, sebaliknya bergantung pada pendekatan DIY dan sokongan komuniti peminat.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, penganjur berkata kejayaan band itu sejak tiga dekad lalu banyak didorong oleh gerakan akar umbi, termasuk jualan fizikal sendiri di gig pada awal 2000-an serta promosi melalui platform dalam talian dari era Friendster dan Myspace hinggalah ke era penstriman.

Album sulung mereka, Top Of The Pop (2006), turut diedarkan di Amerika Syarikat dan Jepun.

Kumpulan itu turut dikenali kerana memberikan peluang kepada artis baharu, antaranya Hujan, Bunkface, Yuna, Tenderfist dan Pesawat yang pernah membuat persembahan pembukaan di acara-acara mereka. Tradisi itu diteruskan melalui projek #TOTPcovers dan #COUPLE30covers yang mengundang artis muda merakam semula lagu-lagu mereka.

Menurut kenyataan itu, konsert COUPLE30 juga akan menghimpunkan semua ahli yang pernah bersama kumpulan tersebut sejak 1995. Setiap ahli akan memainkan lagu daripada era dan album yang mereka terlibat, merangkumi tempoh demo awal hingga katalog penuh mereka.

Konsert anjuran Petai Belalang KL itu turut menampilkan dua kumpulan pembuka, iaitu Empty Page dan The World Ends With You. Sebanyak 34 lagu dijadualkan dipersembahkan.

Tiket Super Early Bird dan Fasa 1 dilaporkan habis dijual, manakala tiket Fasa 2 berharga RM108 masih boleh didapati melalui laman www.pentasnasional.com sehingga beberapa jam sebelum pintu dibuka. Tiket di pintu akan dijual pada harga RM128.

Acara dijadual bermula pukul 5.30 petang dengan pintu dibuka pada pukul 5 petang.

Untuk maklumat lanjut, media boleh menghubungi Aidil di talian 017-356 8994 atau e-mel encik.aidil@gmail.com.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page