November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Tidak Ada Istilah Penat” – Sweet Charity

Spread the love

Sweet Charity boleh diklasifikasikan sebagai ‘godfather’ nuansa muzik rock apabila mereka mencipta revolusi dan legasi yang tersendiri.  Tidak perlu mengadu domba dengan polemik nuansa muzik di ketika mereka membina nama.

Rebel dengan anutan muzik rock dalam lanskap sosio budaya ketika itu menjadikan aura Sweet Charity begitu ampuh sehingga mampu bertahan sehingga kini.

Menyorot kembali sejarah Sweet Charity seawal tahun 1969, kumpulan ini mula menempa nama melalui dua anggota asal iaitu Ramli Sarip dan Rahman Sarbani sebelum Rosli Mohalim dan Ahmad Jaffar melengkapi line-up kumpulan ini pada lewat 70-an sejurus sebelum album pertama mereka diterbitkan.

Sehingga tahun 1985, Sweet Charity telah menghasilkan enam rilisan sebelum Ramli Sarip mengambil keputusan menarik diri untuk bergerak secara solo.

Konsert Semalam Di Malaya, Lima Dekad Sweet Charity yang akan berlangsung pada 26 Januari ini di Zepp Kuala Lumpur pastinya menjanjikan kelainan buat peminat.

Selain Ramli Sarip dan Rosli Mohalim, kehadiran dua anggota asal Rahman Sarbani (drum) dan Ahmad Jaafar (keyboard/vokal) pastinya bakal mengubat rindu peminat meskipun Sweet Charity  pernah beraksi di Stadium Merdeka pada 2011, di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 29 Julai dan seterusnya di The Star Theatre, Singapura pada 14 Oktober lalu membuktikan segalanya. Sweet Charity dilihat kembali bersatu membawa peminat mengimbau nostalgia.

“Tidak ada istilah penat, malah Sweet Charity akan terus bernafas sekiranya ada permintaan daripada penganjur mahupun peminat untuk terus melihat Sweet Charity beraksi”, ujar Datuk Ramli Sarip ketika ditemui sewaktu sesi latihan yang di adakan di Warisan Hall, Sijangkang Selangor pada 24 Januari lalu.

“Meskipun usia telah menganjak ke 70an, namun semangat dalam bermuzik itu tidak pernah padam, malah kadangkala jika ‘kong’ dia datang, itu yang aura dia lain macam”, tambah Ramli Sarip

Beliau turut melahirkan rasa bersyukur kerana peminat masih mengingati Sweet Charity. Malah beliau berharap agar peminat mendoakan setiap anggota diberi kesihatan yang baik supaya mereka dapat bersua muka dengan peminat lama dan baru.

Sweet Charity juga melahirkan rasa teruja kerana diberi peluang untuk  mengadakan persembahan di Kuala Lumpur yang diibaratkannya bagai sirih pulang ke gagang.

“Konsert Semalam di Malaya, Lima Dekad Sweet Charity bukan hanya sekadar judul kosong, namun ianya sarat dengan mesej selain mengimbau sejarah bahawa Sweet Charity itu roh dan semangatnya tetap di Malaysia meskipun umum mengetahui jenama Sweet Charity itu adalah dari Singapura”, ujar beliau.

Sementara itu, Rosli Mohalim yang pernah dikejutkan dengan masalah kesihatan  beberapa tahun lalu dilihat sependapat dengan penyanyi tersebut malah turut melahirkan rasa terujanya.

“Alhamdulillah kesihatan juga sudah bertambah baik sekarang ini walaupun tidaklah seratus peratus. Tetapi tidak bolehlah melompat dan lincah seperti usia 20-an dahulu. Sekarang dah masuk 70-an, kena perlahan sikitlah.

“Insya-Allah saya akan bawa semula bunyian Sweet Charity pada malam konsert nanti. Selain giat praktis, saya juga sentiasa amalkan senaman untuk pertingkatkan tahap kesihatan dan stamina. Perlu ada tenaga yang cukup untuk beraksi selama dua hingga ke tiga jam pada malam itu,” ujarnya

Rahman Sarbani yang juga pemain drum Sweet Charity menyifatkan bahawa muzik ini seumpama terapi buat dirinya.  Beliau yakin dapat memberikan persembahan yang konsisten pada malam konsert itu nanti.

Pastinya peminat akan berasa lebih ‘intim’ menyaksikan konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity merupakan sebuah produksi Rasa Karya, bersama Mewah Event Management sebagai rakan strategik, manakala ilassotickets bagi pengurusan jualan tiket, kerana persembahan mereka lebih dekat dengan peminat berbanding dengan konsert di stadium.

Tiket-tiket berharga RM180 hingga RM15,000 (VIP Box) masih lagi boleh dibeli secara atas talian di laman sesawang www.Ilassotickets.com


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page