September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Tiada Istilah ‘Gitar Hero’ Di Pentas Tujuh Vibrato Gitar – Jo Branko

2 min read
Spread the love

Oleh : Sakka E

Gandingan irama Rock dengan gitar rancak sememangnya tidak dapat dipisahkan, bahkan ianya menjadi satu kemestian dalam menghasilkan nuansa genre yang menjadi kegilaan pada era 80an dan 90an malah ianya masih kekal relevan  hingga ke hari ini walaupun muncul pelbagai genre yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Maka tidak hairanlah setiap gitaris kumpulan rock haruslah mahir dalam teknik permainan untuk mencipta sesuatu yang luar biasa seiring dengan struktur lagu yang mencabar. Oleh kerana itu, maka terlahirlah bakat – bakat yang hebat seterusnya menjadi ikon rock dan ikon gitar tanahair.

Tiada isu ‘gitar hero’ di pentas Konsert Tujuh Vibrato Gitar yang akan berlangsung pada 3 November ini di Zepp Kuala Lumpur.

Demikian menurut pemain gitar Barbarik, Jo Branko yang ditemui pada sidang media konsert terbabit yang di adakan pada 21 September lalu.

“Meskipun masing-masing punya pengalaman yang cukup luas dalam industri, malah masing-masing punya ‘fan’ sendiri, itu bukanlah faktor utama untuk menjadikan mereka ‘gitar hero’ sewaktu di pentas itu nanti”, ujar Joe

“Malah Tujuh Vibrato Gitar lebih bersifat ‘kerjasama’ yang mementingkan kredibiliti demi memastikan ‘sound’ gitar yang dihasilkan itu berbentuk harmoni di antara satu sama lain”, katanya

Tujuh gitar maestro dipilih berdasarkan pengalaman, keunikan dan pengaruh muzik dalam era mereka yang tersendiri dan akan disatukan di sebuah pentas gah bandaraya Kuala Lumpur menjadikan ianya suatu konsert yang unik yang belum pernah sama sekali diadakan di Malaysia.

Sementara itu Kid yang juga senada dengan Jo Branko turut menjelaskan bahawa tiada masalah yang bakal timbul malah dia akan bersikap profesional.

“Saya sangat profesional dan tiada isu. Ini adalah atas platform individu dan bukan kumpulan. Tiada isu berbangkit. Kalau ia pun jadi benda negatif, itu satu tindakan tidak tepat dan kebudak-budakan.  Bermain gitar ni adalah karier saya, jadi saya rasa tiada isu siapa gitar hero atau sebagainya”, ujarnya.

Jo Branko yang juga bertindak sebagai Pengarah Muzik juga berharap konsert ini akan menjadi satu penanda aras bagi konsert – konsert lain yang bakal diadakan di pentas – pentas tempatan dan ianya juga setanding dengan persembahan artis – artis antarabangsa.

Menurut Man Keedal pula, Konsert Tujuh Vibrato Gitar ini juga mungkin akan menjadi satu – satunya konsert yang menyatukan tujuh lagenda gitaris negara dan mungkin tak akan ada lagi konsert yang seperti ini lagi diadakan. Maka ianya satu peluang yang tak harus dilepaskan oleh para peminat rock tempatan.

Tujuh Vibrato Gitar anjuran Big Stage Entertainment Channel turut menampilkan lima lagi pemain gitar iaitu Shah Slam, Muzza, Jemboo Def Gab C dan Anis Kalisa.

Mereka akan diiringi kumpulan Barbarik yang dianggotai Rozaimie (bass), Adi Yamin (keyboards), Ainoll (dram) serta penyanyi latar Izzat dan Baby. Manakala tiga penyanyi terkenal yang ditampilkan ialah Datuk Hattan, Muss dan Lan Solo.

Mereka akan menyampaikan lagu lagu rock klasik dan kontemporari dari himpunan karya hebat muzik rock tempatan.

Mereka yang berhajat untuk menyaksikan konsert tersebut boleh mendapatkan tiket mulai sekarang yang telah mula dijual menerusi atas talian di www.tix-box.com.  Tiket-tiket berharga RM188 (Rockzone), RM278 (Normal seats), RM338 (Premium seats) dan RM5,000 (VIP Box untuk 8 orang).


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page