November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

This Is Johan: Mula Dari Bawah, Bikin Sampai Jadi

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Uhh, mula dari bawah, ramai orang makan nasi tapi tak pernah pegi sawah…

Uhh, dulu ku merangkak sebelum ku melompat tinggi harus pandai kira langkah…


Begitulah diibaratkan catatan kisah asal Johan Ishak sebelum menjadi tersohor, sebelum menjadi ‘The President’ dan sebelum pergi sana sini orang kenal jerit-jerit panggil “Joe Flizzow! Joe Flizzow!”. Siaran dokumentari autobiografi “THIS IS JOHAN” istimewa dipersembahkan oleh Hotlink dengan usahasama Universal Music Group dan Viu. Terbahagi kepada Part 1 dan Part 2 yang berasingan, kisah evolusi Joe Flizzow ini menelusuri jejak-jejak perjalanan ‘The Godfather of Hip Hop Malaysia’ dari fasa awal ‘mahu menjadi’ ke fasa ‘melakukannya’ sehinggalah ke fasa ‘sedang terjadi’. Tiga paradigma inilah yang membentuk seorang Joe Flizzow pada hari ini.

Ingin tahu bagaimana Johan Ishak menjadi Joe Flizzow? Itulah sebab utama mengapa wajib tonton dokumentari Part 1 dan Part 2 ini yang telah ditayangkan dan disiarkan secara khas di laman penstriman Viu. Mengukir asal-usul seorang rapper kental, memperlihatkan titik peluh, jerih payah, suka duka, pahit manis, jatuh bangun dan semangat #BikinSampaiJadi yang menjadi inspirasi ramai peminat setia dan pengikut hip hop sejati sehingga kini. Sememangnya bukan satu lakaran perjalanan yang mudah bergelumang selama dua dekad sehingga mendapat gelaran ‘The President’ dan menempa nama dalam genre muzik Hip Hop, baik di Malaysia mahupun luar negara.

Istimewanya pada petang sidang media 29 Februari yang lalu bertempat di Menara Maxis KL, turut sama hadir adalah ahli keluarga terdekat Joe Flizzow khususnya ibunda tersayang, Puan Aishah Ali. Tidak mahu mendedahkan terlalu banyak spoiler, Joe menyifatkan ibunya sebagai ‘bintang utama’ dalam dokumentari autobiografi ini. Menjadi Duta Hotlink sejak 2022, Joe berkongsi cerita tentang penggambaran dokumentari ini tidak terasa seperti berada dalam sebuah dokumentari kerana kebanyakan adegan dirakam secara candid.

Memperincikan onak duri pada detik-detik awal dalam cubaan ‘menjadi’ figura selebriti terkenal di dalam industri muzik, “This Is Johan” menjadi bukti kepada kreativiti, passion dan semangat antusias yang tidak pernah padam. Meskipun begitu ketara dalam naratif temubual adalah ketiadaan bekas duo ketika zaman kegemilangan Too Phat, iaitu Malique. Ini kerana Joe sudah mengantisipasikan penolakan Malique. “Saya tidak approach Malique sebab saya sudah tahu jawapannya ialah ‘Tidak’. Saya hormati keputusannya untuk tidak berada dibawah cahaya populariti seperti dulu lagi.” cerita Joe.

Dari raut wajahnya jelas terpancar sedikit rasa kesal tetapi segera ditutupi dengan senyuman dan kata-kata ‘memujuk hati’ “Lagipun dokumentari ini adalah tentang saya, bukan dia. Sudah tentu apapun terjadi dia tetap menjadi sebahagian dari cerita saya, itu pasti.” tambah Joe lagi. “Sejujurnya persahabatan saya dengan Malique tidak akan pernah putus. Kami dah ibarat air dicincang takkan putus. Saya harap Malique turut terhibur sekiranya dia berpeluang menonton dokumentari ini.”

Mengambil masa kira-kira 2 tahun setengah untuk disiapkan, dokumentari berdurasi 2 jam terbitan Mojo Films ini, meliputi lokasi penggambaran di Singapura dan Bangkok. Bertujuan untuk memperlihatkan intipati impak seorang Joe Flizzow yang merentasi sempadan, menyingkap pelbagai perspektif dari keluarga dan kenalan rapat, Joe terbuka hati untuk merealisasikan dokumentari ini meski pada mulanya sedikit ragu-ragu. “Kalau bukan sekarang bila lagi kan? Saya tak mahu nanti bila sudah tak relevan baru nak buat, orang kata saya syok sendiri pula.” ujar Joe sambil tersenyum.

Mencipta fenomena bersama Too Phat pada tahun 1998, sayangnya dipuncak kegemilangan terpaksa berpisah tanpa kerelaan, digambarkan kesunyian Joe tanpa Malique sempat membuatkan airmata bergenang. Apatah lagi ketika melihat Joe Flizzow kehilangan kata-kata dan berbisik “It was lonely!” setiap mata yang hadir menonton dokumentari itu berkaca-kaca dibuatnya. Part 1 berakhir di situ, membuatkan ‘tergantung’, hati penasaran dan rasa ingin tahu membuak-buak akan kesinambungan Part 2.

“Semoga dokumentari ini berfungsi sebagai lebih daripada sekadar retrospektif kerjaya saya tetapi juga menjadi inspirasi kepada bakal artis untuk mengejar impian mereka dan merangkul kemenangan.” Penuh harapan Joe membisikkan semangat. “Tiada istilah kalah bagi saya, yang ada hanyalah ‘Menang dan Belajar’. Saya mahu meninggalkan kesan motivasi kepada penonton yang melihat suka duka perjalanan saya. Redah saja semua halangan dan rintangan yang mungkin akan dihadapi. Cekal adalah kata kuncinya.”

Projek tri-party yang melibatkan Hotlink, Universal Music Group dan Viu ini, direalisasikan sebagai satu usaha menyokong pertumbuhan industri muzik Malaysia, dalam masa yang sama menjadi sumber ilham kepada belia diseluruh negara untuk mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing. “Semangat #BikinSampaiJadi diharap dapat memberi inspirasi yang sewajarnya.” ujar Rabiras Rajakrishnan, Ketua Pengguna Hotlink Maxis.

“Kami teruja untuk berkongsi perjalanan luar biasa Joe Flizzow, memperlihatkan sekilas kisah inspirasi dan latar muzik Malaysia yang meriah. Bermula dari bawah, kemudian menjadi pelopor industri, kisah Joe adalah bukti ketabahan, semangat dan kuasa transformatif muzik.” kata Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia.

“This Is Johan” mempamerkan daya tahan yang perlu ada untuk menavigasi landskap industri muzik yang sentiasa berkembang. Legasi Joe Flizzow, seperti yang digambarkan melalui dokumentari ini bukan sahaja mengenai sumbangannya kepada Hip Hop tetapi juga tentang semangat gigih seorang artis yang komited terhadap kraf muzikalitinya menghadapi 1001 macam rintangan. Terimalah “This Is Johan” Part 1 dan Part 2 telah pun ditayangkan dan boleh ditonton di platform penstriman Viu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page