“The Storm Adalah Refleksi Terhadap Evolusi Diri Saya Sebagai Penglipur Lara”- ALYPH
Kredit Foto: PaPaDin
Metamorfosis penyanyi, penulis lagu, komposer, dan penerbit muzik ALYPH dalam industri muzik tanah air tidak disangkal cukup luar biasa dan membanggakan. Pada tahap ini, karya mahalnya yang menguasai pelbagai platform muzik buktikan dia figura seni ikonik.
Ozon kreativiti ALYPH ini berwarna-warni dan cetusan inovasinya membawa bunyi-bunyi baharu dalam karya sangat mengagumkan. Profilnya kaya dengan detik-detik manis kejayaan menerusi lagu ciptaan buat artis lain mahupun sendiri.
Puas dedikasikan kreativitinya untuk orang lain sebelum ini, ALYPH ‘putuskan’ seketika rantaian itu demi fokus apa kemahuan diri pula. ALYPH idam karya yang sepenuhnya berkisar bunyi, hala tuju, dan ideologi diri.
Maka terlahirlah album keramatnya The Storm dan akan dilancarkan secara rasmi pada 24 Januari 2025. Album yang meneroka megah diri, cinta, dan derita dalam pada bermuhasabah diri tentang masa lalu, sekarang, dan masa depan.
Artis residen cemerlang naungan Universal Music Malaysia, Singapura dan Indonesia serta Def Jam Recordings Asia Tenggara (SEA) itu asalnya menggunakan judul lain untuk albumnya. Namun, seiring transisi kreativitinya yang umpama ribut tidak diundang, dia menamakan album ini The Storm.
“Judul The Storm tercetus dalam kepala saya secara rawak pada satu hari sewaktu saya tidak pecah otak memikirkannya. Ia hadir lebih semula jadi dan paling tepat mewakili muzik saya. Kita tidak mampu menduga ribut yang melanda membawa apa, bila akan surut, dan apa yang berlaku dalam setiap lapisan berbeza di langit. Cuma yang kita pasti, banyak hal terpendam perlu dilepaskan,” katanya pada sesi pra dengar yang berlangsung di Maveriq Studio, Petaling Jaya pada 17 Januari lalu.
ALYPH akui kerap berbicara dari sudut kejujuran, kerapuhan, harga diri, dan berterus-terang menerusi muziknya. Hal itu berbeza dengan kebiasaan apabila dia bercakap secara bersemuka. Jadi, proses berkarya itu buat dia rasa sangat bebas.
“Semua lagu dihasilkan daripada kisah benar dan dicampur aduk dengan pelbagai cerita betul lain bagi mencipta pengalaman baharu yang sesuai untuk beraneka emosi. Album ini adalah sudut pandang masa lalu, sekarang, dan masa hadapan.
“Ia meleraikan kisah menempuh kedewasaan yang saya pelajari daripada ibu saya. Sebahagian besarnya berputar dalam aspek kemegahan diri, kasih sayang, dan penderitaan,” katanya.
ALYPH menyifatkan The Storm adalah refleksi terhadap evolusi dirinya sebagai penglipur lara. Menerusi setiap projek, refleksi itu menjadi lebih jelas dan pamerkan kemajuan dirinya. Dia juga bukan sasar karyanya dapat menyentuh kisah hidup seseorang secara langsung. Karyanya dicipta dari sudut peribadi dan mampu dihayati pendengar baik secara peribadi mahupun kolektif.
Berkongsi di sebalik tabir pembikinannya, ALYPH berkata momen paling memuaskan tatkala dapat menyiapkan tujuh lagu dalam tempoh berterusan. Lagu Ingat menjadi karya titik tolak di mana kreativitinya kian membara.
“Album ini mengetengahkan subjek yang kurang diteroka di rantau ini. Bagaimanapun, semangat untuk pecah tembok baharu menjadi tema konsisten dalam hasil kerja saya.
“Secara terperinci, Ingat dan Gerak tidak dinafikan paling mencabar untuk dilunaskan kerana perlu hidupkan kisah peribadi yang sangat mendalam. Menyanyikan karya sebegitu menuntut pertarungan emosi berbeza.
“Kekhuatiran saya lebih terasa setiap kali di pentas menyanyikan kisah peribadi. Sepertinya hidup saya dirungkai secara terbuka dan harus tangani lagu bersifat peribadi itu sebaiknya depan penonton,” katanya.
Menghasilkan The Storm juga menjadi pemecah tembok ALYPH sebagai komposer dan diri- sendiri sebagai artis. Meletakkan fokus kemahuan diri nombor satu menjadikan hala tujunya jadi lebih nyata dalam sempurnakan hasil kerja.
“Sebelum ini, kesulitan utama saya alami adalah terlalu memikirkan keperluan artis lain apabila hasilkan lagu untuk mereka. Apabila tahu fokus diri dan pendengar, proses itu jadi lebih mudah,” katanya.
The Storm merangkumkan cetusan kreativiti ALYPH sebagai anak seni serba boleh. Menarik sekali, untuk lagu Gerak dan Teman dia turut bekerjasama dengan penyanyi ikonik Ziana Zain yang baginya umpama mimpi jadi kenyataan kerama beliau adalah seorang penghibur lagenda yang disanjungi.
Album ini turut menampilkan GARD, seorang bakat muda yang cukup dikenali oleh peminat hip- hop tempatan yang juga sedang meningkat naik. Pendengar bakal menyaksikan gabungan dua bakat besar ini menerusi lagu Sorok Muka.
Sebanyak 12 lagu dimuatkan dalam album ini termasuk Red Flags, Saham Naik, Birthday Girl, The Line, Bestfriend Part 2, Mekar, Dari Jauh, Siapa Yang Ajar?, dan Sorok Muka (feat Gard) selain Ingat, Gerak, serta Teman.
Menjelang pelancaran The Storm, ALYPH sempat memperdengar lagu Saham Naik di siri jelajah Uni-Verse 2024 sepanjang November lalu. Saham Naik adalah antara lagu yang menjadi pertaruhan dimuatkan dalam The Storm.
Dia ‘belanja’ persembahan penuh lagu itu di setiap universiti dalam Malaysia yang dikunjunginya. Antara institut berkenaan termasuklah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Segala perkembangan terkini mengenai aktiviti seni boleh Ikuti ALYPH: Instagram | YouTube | TikTok | Facebook