The Sigit ‘Gila’ Pentas, Bittersweet Bawa Jiwa Menerusi “Another Day: A Perfect Match”
Pentas bakal ‘meletup’! Buat pertama kalinya, dua nama besar dunia indie rock serantau, THE SIGIT dan Bittersweet, bakal berkongsi satu pentas dalam konsert eksklusif “Another Day: A Perfect Match” yang dijangka mencetus fenomena tersendiri.
Berlangsung pada 9 Mei 2026, jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur, konsert ini bukan sekadar gig biasa sebaliknya sebuah ‘pertembungan energi’ yang jarang berlaku dan hanya boleh disaksikan di Kuala Lumpur.
Dibawakan oleh Republic Mokhmah Records (RMR), penganjur berani menjanjikan pengalaman berbeza daripada konsert tipikal. “Ini bukan festival, ini pengalaman. Dua band, dua set penuh, satu malam yang padat dan eksklusif,” tegas Abdul Musa Mokhtar.
Nama THE SIGIT bukan asing dalam kalangan peminat rock serantau. Berasal dari Bandung, Indonesia, band ini terkenal dengan bunyi garage rock yang mentah, penuh attitude dan karisma.
Dipimpin vokalis Rektivianto Yoewono (Rekti), THE SIGIT pernah mencuri perhatian antarabangsa dan menjadi antara band Indonesia yang berjaya menembusi pasaran global. Antara lagu ‘wajib layan’ mereka adalah“Black Amplifier”, “Visible Idea of Perfection” dan “All the Time”

Di pentas, mereka dikenali dengan persembahan bertenaga tinggi, liar dan penuh interaksi sudah cukup untuk buat penonton ‘hilang kawalan’.
Vokalisnya, Rektivianto Yoewono atau Rekti menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu penghormatan. “Kami tunggu momen ini. Berkongsi pentas dengan band Malaysia di Kuala Lumpur adalah sesuatu yang istimewa,” ujarnya.

Sementara itu, Bittersweet pula adalah antara pelopor indie rock tempatan yang kekal relevan sejak era 2000-an. Dengan identiti muzik yang melankolik dan lirik penuh emosi, Bittersweet mempunyai pengikut setia tersendiri.
Diterajui Fizan dan Heri, band ini terkenal dengan karya yang dekat dengan jiwa pendengar, antaranya “Kau Aku”, “Hari Ini Dalam Sejarah” dan “Tuan Dan Puan”
Bittersweet yang sudah lama menjadi suara generasi indie tempatan tidak mahu sekadar ‘panas badan’. Wakilnya, Heri memberi bayangan mereka hadir dengan misi besar.
“Kami bawa set 60 minit yang padat. Ini bukan sekadar persembahan, ini pertarungan energi atas pentas,” katanya.
Lebih panas, peminat berkemungkinan menyaksikan kolaborasi spontan di atas pentas, sesuatu yang cukup ‘rare’ dan sukar diulang. Jika menjadi kenyataan, malam ini bakal dikenang sebagai antara momen paling indah dalam sejarah gig alternatif tempatan.

Harga Tiket yang ditawarkan adalah RM168 – CAT 1 (Berdiri – Zon Depan) , RM98 – CAT 2 (Berdiri – Zon Belakang), RM238 – CAT 3 (Tempat Duduk Premium), RM178 – CAT 2 (Tempat Duduk Biasa) dan RM348 – KOTAK VIP (10 orang setiap kotak) serta VIP Eksklusif: T-Shirt, Lanyard, Pas VIP, Beg Tote, Poster & Snek
Untuk pembelian tiket boleh dibuat menerusi https://www.ilassotickets.com
(Harga tidak termasuk caj tambahan seperti yuran RM6, duti hiburan 5% dan caj pemprosesan.)
