The Rose Membuai Emosi ‘Black Roses’ Di Malaysia
Tetap berbisa, tiada ungkapan indah yang boleh dilakarkan dengan kata-kata. The Rose membuktikan bahawa mereka juga mampu mencipta revolusi dan empayar meskipun hadir dengan imej indie rock acuan Korea.
Kumpulan yang dianggotai Kim Woosung (penyanyi / gitar), Park Dojoon (keyboard / penyanyi), Lee Hajoon (dram) dan Lee Jaehyeong (bass) berjaya menghipnosis lebih 3000 peminat setia mereka menerusi konsert The Rose Dawn to Dusk Tour di di Mega Star Arena KL yang telah berlangsung pada 31 Januari lalu.
Konsert anjuran Lo-Fi Entertainment itu adalah merupakan sebahagian daripada siri jelajah The Rose ke Asia.
Tepat jam 8.40 malam, suasana bening yang menyelimuti Megastar Arena mula gegak gempita dengan jeritan fanatika The Rose yang merindui persembahan mereka. Muzik instrumental yang bergentayangan menambahkan lagi ‘kecelaruan’ emosi khalayak.
Tanpa banyak bicara The Rose memaku penonton dengan lagu Eclipse, sekaligus membawa ‘roh’ peminat mengembara ke buana ciptaan The Rose. Dawn, You’re Beautiful, Shift, Lifeline dan The Red yang sarat dengan untaian lirikal melankolik, Paparan gambaran metafora sentiasa menghiasi LED seakan memberi ‘nyawa’ kepada persembahan The Rose.
Mereka kemudiannya menyapa khalayak dan menyatakan kerinduan serta keterujaan dapat kembali semula ke Malaysia setelah lebih 5 tahun tidak mengadakan persembahan di sini.
Usai menyapa peminat The Rose kemudiannya menghiburkan peminat dengan seleksi yang membakar jiwa namun masih sarat dengan permainan emosi yang di senyawakan bersama lagu mereka seperti Nauseous, Back To Me, Yes, Time dan Beauty and The Beast.
Pemain drumnya, Lee Hajoon turut melontarkan vokalnya menrusi lagu ILY yang menyaksikan kesemuanya berkolaborasi dan inilah keistimewaan The Rose. Selain mampu bermain alat muzik mereka juga mempunyai bakat nyanyian.
Sedar tidak sedar sudah lebih 15 buah lagu mereka persembahkan, ‘repertoir’ di pilih sebaik mungkin agar ada jalan cerita dalam persembahan selain mainan cahaya serta LED yang menghidupkan sesebuah konsert.
The Rose terus membawa ‘black roses’ (gelaran untuk peminatnya) klimaks bersama lagu-lagu yang melonjakkan nama dan terus bertahta di hati mereka. Sorry, Cure dan She’s In The Rain seumpama tajamnya juri yang terus menyuntik khalayak untuk bernyanyi bersama.
Tusukkan duri The Rose semakin mendalam hingga membuat seluruh arena bergema dengan jeritan yang bercampur baur dengan lontaran nyanyian peminat ketika lagu Sour, Cosmo dan Wonder dipersembahkan. Seleksi yang menamatkan persinggahan The Rose ke Malaysia dalam siri jelajahnya.
Untuk rekod Ini bukanlah kali pertama The Rose menjejakkan kakinya ke Malaysia. Tahun 2019, mereka berjaya meninggalkan momen indah buat peminatnya sewaktu membuat persembahan di KL Live.
Mula aktif pada 2017, anggota kumpulan ini berkenalan menerusi acara ‘busking’ di sekitar Seoul. Kini mereka bernaung di bawah label sendiri iaitu Windfall dengan kerjasama Transparent Arts.
Mereka menjadi antara penghibur yang sentiasa disorot penganjur festival muzik besar seluruh dunia. Ia termasuk membuat persembahan acara Lollapalooza di Chicago, Sweden, Brazil, Chile dan Argentina serta Festival Jazz Montreux di Switzerland dan BST Hyde Park di England.
The Rose sudah mengeluarkan dua album studio berjudul Heal dan Dual, dua EP iaitu Void dan Dawn, satu album tunggal Red, selain banyak lagunya mencatatkan kejayaan dalam carta teratas global.
Selain Asia, kumpulan itu bakal menjelajah lokasi sekitar Amerika Utara dan Eropah sehingga April nanti.