March 18, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

The Rayhan Beri Bayangan ‘Konsert’ & Album Baharu

Spread the love

Kredit Foto:  PapaDin

Selepas hampir dua dekad menyepi daripada arus perdana, kumpulan nasyid legenda tanah air, The Rayhan, kini kembali dengan langkah yang bukan sekadar nostalgia, tetapi sebuah kebangkitan penuh makna. Lebih menarik, ‘kemunculan semula’ ini disertai dua projek besar yang dijangka menggegarkan industri iaitu penganjuran konsert khas berskala besar serta penerbitan album baharu yang sedang giat disiapkan.

Penjenamaan semula sebagai A.N.A The Rayhan dilihat sebagai simbol kepada ‘kelahiran semula’ kumpulan ini, yang kini dianggotai Nazrey Johani, Amran Ibrahim dan Afad. Gabungan ini bukan sahaja mengembalikan kekuatan harmoni yang pernah menjadi identiti Raihan, malah membawa pendekatan segar yang lebih kontemporari tanpa mengorbankan roh nasyid itu sendiri.

Apa yang menjadikan perjalanan ini lebih istimewa, ia berlaku secara organik tanpa sebarang perancangan besar. Sepanjang Ramadan lalu, mereka secara konsisten berkarya sehingga berjaya menghasilkan tiga single baharu merangkumi satu lagu bertemakan Ramadan dan dua lagu raya.

“Kami tak rancang semua ini secara besar-besaran. Kami hanya buat seperti biasa iaitu berkarya, siapkan lagu, kemudian teruskan lagi. Tapi akhirnya Allah permudahkan semuanya,” kata mereka ketika ditemui media di Top G Coffee & Café, Publika Kuala Lumpur pada 17 Mac lalu.

Kebangkitan The Rayhan bakal dimuktamadkan menerusi sebuah konsert khas yang dijadual berlangsung sekitar Julai ini di Kuala Lumpur. Konsert berkenaan dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 peminat, sekali gus menjadi pentas rasmi kebangkitan mereka selepas sekian lama.

Lebih menarik, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya dirangka sebagai sebuah perjalanan emosi yang menggabungkan lagu-lagu ikonik Raihan dengan karya baharu yang bakal diperkenalkan kepada generasi kini.

Di sebalik penganjuran konsert ini, wujud satu usaha berterusan yang mengambil masa hampir setahun sebelum ia berjaya direalisasikan. Kolaborasi bersama Bintang Batu Event bermula sejak Ramadan tahun lalu, apabila pihak penganjur melihat potensi besar dalam gabungan terkini The Rayhan.

Wakil penganjur, Ikhram Zairuddin, menjelaskan bahawa proses ‘meminang’ Raihan bukan sesuatu yang mudah kerana pelbagai aspek perlu dipertimbangkan termasuk keserasian konsep dan komitmen kedua-dua pihak.

“Perancangan ini sebenarnya sudah bermula sejak tahun lalu. Kami nampak potensi besar apabila mereka bertiga bergabung. Tapi untuk capai persetujuan itu mengambil masa hampir setahun.

“Alhamdulillah, dalam Ramadan kali ini kami dapat duduk semeja dan akhirnya semuanya dipersetujui,” katanya.

Menurutnya, walaupun persiapan dilakukan dalam tempoh yang agak singkat, pihak penganjur yakin dengan kekuatan pasukan produksi yang terlibat termasuk pengarah muzik dan kru teknikal berpengalaman.

Konsert itu juga dijangka menampilkan sekitar 20 hingga 25 lagu, merangkumi karya klasik yang pernah menjadi siulan ramai selain susunan muzik baharu yang lebih segar.

Dalam masa sama, The Rayhan turut memberi fokus kepada penerbitan album baharu yang dijangka dilancarkan sekitar pertengahan tahun ini. Album ini dianggap sebagai simbol kesinambungan perjuangan mereka dalam memperjuangkan muzik nasyid, namun dengan nafas baharu yang lebih relevan dengan citarasa semasa.

Menurut mereka, album ini tidak lari daripada identiti asal Raihan, tetapi akan dipersembahkan dengan pendekatan yang lebih moden dari segi susunan muzik, produksi serta penyampaian.

“Kami masih pegang kuat pada harmoni dan mesej yang menjadi asas Raihan. Tapi dari segi bunyi dan pendekatan, kami cuba bawa sesuatu yang lebih segar supaya boleh diterima generasi sekarang,” jelas mereka.

Proses pembikinan album itu juga berjalan seiring dengan penghasilan single baharu yang telah disiapkan sepanjang Ramadan, sekali gus memperlihatkan momentum kreatif yang semakin kuat dalam kalangan anggota kumpulan itu.

Kembalinya The Rayhan ke pentas turut disambut dengan reaksi luar biasa daripada peminat, khususnya ketika penampilan mereka di Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 di Saloma sebelum ini.

Persembahan tersebut bukan sahaja mencuri perhatian, malah mencetuskan emosi mendalam dalam kalangan penonton sehingga ada yang mengalirkan air mata.

“Ada peminat yang menangis bila tengok kami menyanyi. Mereka kata rasa seperti kembali ke zaman dulu. Itu yang buat kami lebih yakin untuk teruskan perjalanan ini,” kata mereka.

Sokongan yang diterima bukan sahaja datang daripada peminat lama, malah turut melibatkan generasi baharu yang mula mengenali muzik Raihan melalui platform digital.

Bagi Afad, penyatuan semula ini bukan sekadar kemunculan semula untuk mengubat rindu peminat, sebaliknya satu misi besar untuk menghidupkan kembali nasyid dalam bentuk asalnya.

“Misi kami bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi untuk menghidupkan semula suasana nasyid yang sebenar. Sudah hampir 20 tahun kita tidak dengar karya dengan acuan seperti ini,” katanya.

Amran pula menegaskan penglibatannya kali ini lebih serius, berbeza dengan pendekatan terdahulu yang lebih bersifat projek sementara.

“Kali ini kami diikat secara rasmi. Ini fokus utama saya sekarang. Kami mahu kembalikan kekuatan harmoni yang menjadi identiti Raihan dan kini The Rayhan” katanya.

Mengimbas perjalanan panjang mereka, mengakui wujud ‘kekosongan’ hampir dua dekad yang menyebabkan aura kumpulan itu seakan hilang daripada radar industri.

Namun, mereka melihat apa yang berlaku hari ini sebagai satu ‘kelahiran semula’ yang hadir dengan izin dan aturan tersendiri.

“Kami tak terlalu fikir istilah sama ada ini rebranding atau lahir semula. Yang penting, kami diberi peluang untuk kembali berkarya,” kata mereka.

Dengan konsert berskala besar di depan mata serta album baharu yang bakal dilancarkan, The Rayhan kini bersedia membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni mereka. Bukan sahaja untuk mengubat rindu peminat, tetapi juga untuk mengangkat kembali martabat muzik nasyid ke arus perdana.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page