The Orchid Journey Bawa Wanita Cari Keseimbangan Hidup
The Orchid Journey, siri travelog inspirasi terbitan Skyhill Clinic, mempertemukan tiga tokoh wanita berpengaruh Malaysia dalam misi mencari keseimbangan hidup wanita masa kini.
Tiga figura itu ialah Dr. Linda Mat Hassin, pakar perubatan dan kesihatan wanita; Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, guru kerohanian dan personaliti dakwah; serta Datuk Dr. Faridah Hanim Haron, pakar kepimpinan dan pembangunan organisasi. Mereka menelusuri Tokyo dan Bandung bagi menyorot cabaran serta pencarian makna hidup dalam dunia moden yang serba pantas.
Menurut Dr. Linda, siri ini membolehkan wanita menyeimbangkan tuntutan kerja, keluarga dan kehidupan rohani. “Wanita hari ini hidup di antara dua dunia iaitu dunia produktiviti dan dunia jiwa yang mendambakan ketenangan. The Orchid Journey adalah jambatan antara keduanya,” katanya pada sidang media yang telah di adakan pada 4 Disember lalu.

Setiap episod berdurasi 20 hingga 25 minit memaparkan perbincangan mendalam tentang kepimpinan wanita, tekanan hidup, keseimbangan hormon, kesihatan mental dan emosi, serta peranan Muslimah dalam kerjaya dan keluarga. Penonton juga dihidangkan visual sinematografi berkualiti tinggi dan dialog yang menyentuh hati.
Siri ini dilancarkan dengan sokongan penaja rasmi termasuk Skyhill Clinic (Penaja Utama), Siti Khadijah (Rakan Busana Muslimah), AMPAC (Rakan Latihan), MedikGO (Portal Kesihatan), Linheal (Suplemen Halal), Casalwa (Butik Rasmi) dan Brainy Bunch (Pendidikan Awal Kanak-Kanak).

Dalam sidang media, Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa dilantik sebagai Ikon Syariah Skyhill Clinic, manakala Datuk Dr. Faridah Hanim Haron dilantik sebagai Penasihat Korporat. Pelantikan ini menegaskan kolaborasi ilmu, nilai dan profesionalisme dalam memperkasakan wanita dari aspek kesihatan, kerohanian dan kepimpinan.
Dengan mesej mendalam dan visual menarik, The Orchid Journey diharap menjadi sumber inspirasi buat wanita masa kini untuk menyeimbangkan hidup dan mencari makna sejati.
