The Gadys ‘Cuti Raya’ Untuk Sambut Aidilfitri
Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan tidak lama lagi pastinya menjadi satu-satunya peristiwa yang begitu ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam selepas menjalani ibadah puasa selama sebulan.
Kemeriahan dan kegembiraan hari raya ini sungguhlah memikat hati dan menggamit kenangan indah dalam ingatan semua orang yang menyambutnya dengan penuh rasa syukur. Mengiringi sambutan hari kemenangan itu tentu saja dendangan lagu raya yang berkumandang di corong-corong radio. Selain menggamit memori dengan rangkaian lagu raya lama, tidak dilupakan karya baharu lagu raya yang turut mencuit hati pendengar.
Kumpulan The Gadys misalnya muncul dengan lagu raya berjudul Cuti Raya yang dianggap sangat dekat dengan kehidupan harian semua orang yang bekerja pada musim perayaan ini.
The Gadys dianggotai Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan mahu lagu Cuti Raya ini menjadi antara lagu raya paling diminati tahun ini seterusnya kekal evergreen.
“Lagu Cuti Raya adalah sebuah lagu yang boleh dikatakan sangat rapat dengan kehidupan harian semua orang yang bekerja. Lagu Cuti Raya lebih kepada gambaran emosi dalam lirik lagu dan lirik yang ‘straightforward’ untuk menyatakan hasrat dan harapan untuk cuti beraya dan tidak mahu bekerja supaya dapat bergembira di hari raya dengan orang yang tersayang,” kata Aznie.
Berkongsi lanjut, Aznie berkata, proses rakaman lagu Cuti Raya sangat menyeronokkan. “Proses rakaman lagu raya adalah antara proses yang sangat ‘fun’ sebabnya ini kan lagu raya, pelbagai emosi yang boleh kita letak dalam setiap melodi dan nyanyian yang kita nyanyikan.
“Pada mulanya banyak juga lirik yang dicuba dan diubahsuai agar lirik itu lebih kena dengan situasi dan keadaan semasa ramai orang di luar sana apabila mendengar lagu ini,” katanya.
Bagi Ayunie, bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam penghasilan lagu Cuti Raya ini satu lagi pengalaman berharga buat mereka. “Pengalaman yang kami lalui sangat seronok dan semuanya dipermudah dengan lancar. Setiap pihak memberi kerjasama yang baik. Semasa rakaman kami bersama-sama berkongsi idea untuk menjayakan lagu Cuti Raya ini. Kami sangat selesa semasa bekerja dengan setiap pihak semasa proses Cuti Raya ini dijalankan,” katanya.
Menurutnya, dia berharap lagu Cuti Raya ini dapat diterima baik oleh semua peminat dan pendengar. “Kami berharap Cuti Raya ini akan sentiasa didengari oleh setiap orang setiap kali raya dan kami juga mengharapkan setiap pendengar Cuti Raya gembira dan menerima Cuti Raya dengan seadanya,” katanya.
Sementara itu, Thamiera berkata, lagu Cuti Raya ni sangat kena untuk orang yang bekerja dan tidak mendapat cuti pada sambutan hari raya ini. Thamiera berkata, penggambaran video muzik lagu Cuti Raya ini dijayakan dengan baik hasil daripada kerjasama semua pihak.
“Alhamdullilah, penggambaran MV semua berjalan dengan lancar. ‘Calltime’ saya yang paling awal iaitu jam 6.30 pagi saya dah sampai ke lokasi yang diberi. Lepas habis bahagian saya, saya sempat tidur di bilik artis sementara menunggu gadys yang lain habis juga. “Selepas mereka pun habis, kami bersama-sama berbuka puasa dan selepas itu juga kami terus ke lokasi yang terakhir. Pasukan produksi sangat mudah untuk bekerjasama dan kami sangat selesa, seronok sepanjang proses rakaman,” katanya.
Lagu Cuti Raya adalah ciptaan Ja’a, Mage dan Glowrush dan menampilkan Adib Hussin dan Glowrush selaku penerbit.
Lagu Cuti Raya boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 22 Mac 2024, muzik video juga akan ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi The Gadys ada 29 Mac 2024.