September 19, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Terus Bersinar’ Evolusi Seni Hafiz Suip

Spread the love

Nama Hafiz Suip tidak perlu diperkenalkan, mula membina karier seninya menerusi lagu Awan Nano yang telah meraih pelbagai anugerah, meskipun begitu Hafiz yang di lihat ‘sepi’ sebelum ini kembali mewarnai kerjaya seninya agar ianya terus relevan dengan permintaan masa kini.

Lagu-lagunya seperti “Awan Nano,” “Noktah Cinta,” “Ku Akui,” “Bahagiamu Deritaku,” dan “Kisah Cinta Kita,” telah terpahat di hati dan terus popular. Keupayaan Hafiz mencipta muzik yang menyentuh hati yang bergema dengan pendengar sungguh luar biasa.

Terbaharu, Hafiz, 33, atau nama sebenar Mohamad Hafiz Mohamad Suip muncul dengan single berjudul “Terus Bersinar” terbitan syarikat rakaman Nova Music.

Menariknya, lagu ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito serta lirik oleh Datuk Arisz Ab Rahman JP, Mas Dewangga dan Jova Devito itu adalah kerjasama pertama Hafiz bersama mereka.

Menurutnya, lagu “Terus Bersinar” yang bergenre balada itu membawa mesej untuk anak.

“Sepanjang kerjaya, saya sudah merakamkan lagu yang menceritakan mengenai lumrah kehidupan yang semua orang lalui. Contohnya, lirik lagu Matahari mengisahkan hubungan kesusahan adik-beradik.

“Lagu Awan Nano pula menceritakan pengorbanan seorang ayah manakala lagu Kisah Cinta Kita adalah terjemahan kasih sayang antara suami dan isteri.

“Jadi, untuk lagu Terus Bersinar ini, mesej yang ingin disampaikan pula adalah mengenai anak.  Boleh dikatakan, dalam karier saya setiap lagu ada jalan ceritanya yang tersendiri dan semua lagu itu juga ada kisah kehidupan yang mempunyai mesej,” katanya dalam satu kenyataan.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Hafiz berkata, dia terus jatuh cinta dengan lagu itu ketika kali pertama mendengar melodiya.

“Lagu ini masih lagi bergenrekan balada. Cuma ada sedikit sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape, itu pun pada penghujung lagu.

“Masa pemilihan lagu ini, saya dengar lagu ini memang terus tertarik dengan melodi dan lirik. Itu yang membuatkan saya terus bersetuju untuk rakamkan sebagai single terbaru saya.

“Kalau baca setiap bait lirik lagu ini, memang sesuai ditafsir berkaitan anak. Saya percaya lagu ini nanti insya-Allah mendapat tempat di hati pendengar.

“Begitu juga dengan video muzik lagu ini yang mana memang menceritakan mengenai ibu bapa yang menjaga dan membesarkan anak daripada kecil hingga besar. Pendek kata, anak itu ditatang bagai minyak penuh,” ujarnya.

Mengenai kerjasama dengan Mas Dewangga, Hafiz bertuah kerana dapat merakamkan lagu ciptaan komposer yang kian meningkat naik dengan sentuhan lagu balada yang mampu menarik perhatian pencinta muzik tanahair.

“Mas Dewangga seorang komposer yang bagus di mana bila saya dengar karya dihasilkan semuanya segar dan memang trend masa kini. Lagu balada yang dihasilkan diberi sentuhan yang membuatkan lagu itu bertambah sedap didengar.

“Macam sekarang, peminat suka dengan lagu-lagu balada dari Indonesia. Jadi, apa saya perasan, karya Mas Dewangga pun ada sentuhan bunyi itu. Kebetulan saya pun suka,” jelasnya.

Dalam masa sama, Hafiz berharap lagu “Terus Bersinar” bakal menjadi sebuah karya pilihan dan diminati oleh semua seperti kebanyakan lagu-lagunya sebelum ini.

“Insya-Allah, apa-apa pun kita berserah kepada Allah. Namun, tidak mahu terlalu berharap. Pun begitu, saya sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu ini, apa boleh dikatakan adalah saya dapat rasa mesej yang ingin disampaikan. Saya sendiri menangis.

“Jadi, harapnya peminat dan pendengar juga dapat merasainya, insya-Allah,” katanya.

Menariknya, lagu “Terus Bersinar” turut dipilih menjadi lagu tema drama bersiri 30-episod terbitan Mache All Star United berjudul ‘Surat Dari Tuhan’ yang akan bersiaran di slot Samarinda, TV3 mulai 30 Oktober lalu.

Video muzik rasmi single tersebut juga boleh mula ditonton pada hari yang sama di saluran YouTube Nova Music Videos.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page