Terpancar Aura Cahaya Ernie Zakri
Oleh: Zizi Hashim
Penantian yang panjang akhirnya bernoktah buat peminat tegar figura comel dan berbakat besar, Ernie Zakri dengan terpancarnya “Aura” gemilang album sulung beliau pada majlis pelancaran album di Sunway Putra Mall tanggal 3 November yang lalu. Bernaung di bawah Universal Music, “Aura” memberi jawapan kepada teaser yang sering dibuat oleh Ernie mengusik para peminatnya.
Memuatkan 10 buah lagu ciptaan komposer-komposer hebat, Ernie memberitahu “Kesemua lagu mempunyai sentimental value yang tersendiri buat saya, tidak ada yang menjadi personal favorite. Semuanya mempunyai melodi yang kuat dan indah, kerana saya sendiri yang memilih lagu-lagu, maka semuanya favorite. Susah untuk menyebut salah satu kerana semuanya ada cerita tersendiri.”
Wajah yang tidak lekang senyuman ini menyambung lagi, “Aura adalah sebuah album yang membawa mesej percaya diri dan sentiasa berfikiran positif. Saya sendiri mengolah album ini secara khas untuk memberi semangat kepada jiwa-jiwa yang terluka. Takdir hidup ini telah tertulis. Kita harus akur dan menerima segala ketidaksempurnaan tanpa rasa takut.” Album yang diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi dan kekuatan pada setiap pendengarnya, memeluk Aura diri mereka sendiri, dipersembahkan dalam bentuk pesan nasihat, motivasi diri dan jauhi depressi.
“Masing Masing” menjadi mukadimah mahakarya album sulung Ernie Zakri, bertemakan jalan cerita putus cinta. Seiring dengan trend muzik galau yang popular masakini, Ernie bernukilan melalui lirik puitis yang memujuk hati sekiranya tiada persefahaman, adalah tidak menjadi kesalahan untuk berpisah dan membawa haluan masing-masing. “Tak semestinya bertengkar, ada yang buat keputusan secara baik, kalau tak bahagia untuk apa terus bersama.” Tambah Ernie lagi, yakin rakyat Malaysia sukakan lagu-lagu bernuansa sebegini. Sedih tetapi percaya diri.
Komposisi merdu hasil cipta Ade dari band Govinda bersama Nabila V dari Indonesia ini sebaik sahaja diperdengarkan, terus menjadi siulan dan nyanyian bersama pada petang itu. Ernie Zakri mengambil masa selama setahun untuk merancang dan meneliti beberapa ciri khas bagi album yang melibatkan ramai komposer dan penerbit ini. Antara lagu yang turut dipersembahkan pada petang itu ialah “The Best” dan “Aura”. Setiap senikata bercerita tentang hal-hal yang berbeza, melengkapkan cahaya istimewa untuk anda membeli album ini dan nilaikan sendiri. Karya muzik berkualiti dan pelbagai strategi telah disusun oleh pihak Universal Music dalam memastikan bakat Ernie Zakri terbang tinggi.
Lebih istimewa apabila suami Ernie sendiri, Syamel turut mencipta sebuah lagu berjudul “Jangan Hilang Percaya”, berdiri sebaris dengan nama-nama besar industri seperti Aubrey Suwito, Faizal Tahir, Ezra Kong, Amylea Azizan, Rozi SangDewi, Helen Yap dan ramai lagi. Album Aura telah pun berada di platform digital sejak 3 November, begitu juga dengan muzik video “Masing Masing” telah berada di laman YouTube pada hari yang sama. Lagu-lagu lain yang bakal hits berjudul “Intro Buat Kamu”, “Terima Seadanya”, “Gelita”, “Tercipta Sempurna”, “Satu Cinta” dan “Persis Katarsis”.
Selain dari pelancaran album, Ernie Zakri turut diangkat sebagai Duta Jenama Tudung Ayuwan yang berbesar hati mengumumkan kolaborasi antara kedua bintang dan jenama sensasi. Sememangnya Ayuwan sangat dikenali dengan dedikasi dan kualiti dalam merekacipta corak sofistikated yang anggun, bersopan-santun dan berperibadi. Sesuai dengan karektor dan imej Ernie Zakri sendiri, usahasama ini membiaskan Aura glamor Ayuwan dan Aura unik bintang bersuara emas ini.
“Saya sangat teruja dengan koleksi rekaan Ayuwan yang mempesona, dalam masa yang sama memperkasakan fesyen muslimah di negara kita. Ayuwan juga merealisasikan minat saya dalam fesyen dan membolehkan saya berkongsi gaya peribadi serta kreativiti saya dalam menggayakan tudung. Tunggu tutorial dari saya nanti ya!” Ujar Ernie Zakri lagi sambil menandatangani sebuah plak khas yang dihiasi gambar nya sendiri menggayakan skarf menawan dari Ayuwan. Hadirin dipersembahkan juga dengan pementasan peragaan koleksi skarf melalui rangkaian produk – Desa, Spora, Pancawarna, Birai dan Gemala. Terokai dunia Ayuwan yang anggun bergaya di www.ayuwan.com.my