Teater Muzikal Sudirmania: Pengubat Rindu Peminat Sudirman
Bakal Berlangsung Pada 27,28 dan 29 Disember Di Panggung Bandaraya (DBKL)
Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur, Pertubuhan Pameran Seni Teater (PEPSTER) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor (JKKN Selangor), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Sudirman Asset Management dan Revolution Stage akan mengadakan Pementasan Teater Muzikal Sudirmania pada 27 Disember jam 8.30 malam serta pada 28 Disember dan 29 Disember jam 3 petang dan 8.30 malam bertempat di Panggung Bandaraya (DBKL), Jalan Raja, Kuala Lumpur.
Siri Karya Agung merupakan salah sebuah program yang diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor dan akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Pameran Seni Teater (PEPSTER).
Program ini bertujuan untuk mengetengahkan karya-karya seni dan sastera negara serta mempergiatkan persembahan teater warisan dalam kalangan remaja, belia dan masyarakat di Malaysia secara keseluruhanya.
Menurut Norziatul Shuhadah Md Idris, Timbalan Pengarah JKKN Selangor, “Jabatan ini mengharapkan penganjuran pementasan ini dapat membantu dalam menyemarakkan seni budaya dalam bidang teater dan muzik, terutama usaha untuk mengangkat lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad melalui olahan teater muzikal yang digarap supaya ia terus malar segar.
‘Selain daripada itu, Siri Karya Agung ini akan menjadi salah satu platform kepada badan bukan kerajaan (NGO) seni budaya untuk berkarya dengan lebih kreatif dan sudut pandang yang berbeza,” katanya.
Teater Muzikal Sudirmania, karya dan arahan Khairunazwan Rodzy akan dibintangi oleh Fimie Don, Amirul Affendi, Putri Khareeza, Khayrisya Kemal, Kirin Muhd dan ramai lagi.
Khairunazwan pula berkata, ini bukan kisah Sudirman, tetapi ini kisah kita dalam jiwa lagu-lagu Sudirman.
“Kali ini ada perubahan istimewa dan penambahan baru dari pementasan yang pernah diadakan sebelum ini. Jadi siapa yang pernah menonton, pasti tidak rugi menonton persembahan teater muzikal Sudirmania yang terbaru ini oleh kerana pembaharuan dan penambahan yang telah dilakukan,” katanya.
Teater Muzikal Sudirmania adalah satu projek pementasan teater tribute kepada satu-satunya penghibur nombor satu negara, Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad. Sudirmania ini adalah penterjemahan dari lagu-lagu nyanyian Allahyarham Dato’ Sudirman menjadi naskhah pementasan yang telah digarap kemas menjadi jalan kisah di zaman kegemilangannya.
Lagu-lagu yang dipilih akan diolah menjadi sebuah cerita yang bertemakan kehidupan remaja, dewasa dalam gelombang percintaan. Sudirmania adalah gabungan empat (4) kisah yang menjadi satu kronologi cerita yang mengisahkan tentang masyarakat yang meminati Sudirman sehingga menjadikan lagu-lagunya sebagai semangat hidup.
Di sebuah kampung, Ramlan, Tapa, Husin, Ani, Nina berbincang untuk ke konsert Sudirman di Jalan Chow Kit pada pertengahan 1980-an. Ia adalah konsert percuma Sudirman untuk rakyat Malaysia. Penduduk Chow Kit juga turut bergembira kecuali Din, Mael dan Basir iaitu mat ganja di Jalan Chow Kit.
Mereka ada perancangan jahat untuk dijalankan semasa konsert itu berlangsung. Dalam masa yang sama Yusof bapa kepada Ramlan tidak membenarkan Ramlan pergi ke Kuala Lumpur kerana Yusof ingin pergi ke konsert tesebut untuk bertemu bekas isterinya Laila.
Namun Ramlan pergi juga kerana sudah berjanji untuk bertemu kekasihnya Zeti yang dipaksa bertunang dengan Osman, anak orang kaya.
Banyak rintangan yang mereka lalui untuk pergi ke konsert itu. Ada rompakan, ada kes rogol, ada juga pergaduhan yang menyebabkan kematian. Semuanya berlaku dalam sebuah persembahan Konsert Gergasi Chow Kit Road.
Tiket-tiket berharga RM35.00 dan RM55.00 boleh didapati di laman sesawang revolutionstage.com.
Diharap dengan penganjuran Siri Karya Agung: Muzikal Sudirmania ini dapat membantu pembangunan dan penyemarakan seni budaya melalui teater muzikal dan sekaligus terus menyokong lagu-lagu Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad agar terus mekar di hati masyarakat.