September 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Teater Kompilasi ‘Kerana Percayakan Siti’ Bakal Dipentaskan Di DPAC Pada 4-6 Oktober Depan

Spread the love

Storyteller Production, sebuah rumah produksi tempatan yang aktif menghasilkan kandungan kreatif untuk platform digital dan TV  akan menerbitkan sebuah pementasan teater kompilasi berjudul “Kerana Percayakan Siti” pada 4 hingga 6 Oktober 2024 bertempat di Blackbox Damansara Performing Arts Centre(DPAC), Petaling Jaya. 

“Kerana Percayakan Siti” mempertaruhkan barisan pelakon seperti Nadia Brian, D’Boy Hamdan, Farah Ahmad, Shariah Sofia, Firdaus Karim, Swarna Naidu dan Anwar Rusdini. Kesemua mereka adalah bakat-bakat yang awalnya lahir di pentas teater dan berjaya memecah masuk serta mencipta nama di dalam industri seni dan hiburan tempatan. Pementasan ini seolah-olah peluang untuk mereka ‘pulang kampung’ dan kembali mengisi pentas yang mula-mula menaikkan nama mereka. 

Teater kompilasi ini ditulis dan diarahkan oleh pengarah muda, Afiza Asram yang telah memahat namanya sebagai seorang pengarah pertama kalinya melalui filem “Sa-Balik Baju” yang telah menduduki carta no 1 tontonan tempatan buat 4 minggu berturut-turut di saluran Netflix. Dia kemudian menulis dan mengarah beberapa lagi drama seperti Kau vs Aku dan paling terbaru untuk saluran Astro Gempak, “Ke Kodiang With Love”. Afiza merupakan lepasan Akademi Seni dan Warisan (ASWARA) dalam bidang teater (majoring acting). 

“Kerana Percayakan Siti” merupakan gabungan 3 buah cerita iaitu “Perempuan Perang”, “Terang Malam” dan “Sabalik Baju”. Perempuan Perang dipentaskan pertama kali pada tahun 2016 dan pernah mewakili Malaysia dalam “Program Teater 3 Negara” di Pahang pada tahun 2017. Ia mengisahkan tentang seorang wanita bernama Laila yang menghadapi konflik dan krisis setelah suaminya, Ibrahim ditangkap kerana kesalahan sodomi. Pada pementasan kali ini, Sharifah Sofia diberi kepercayaan untuk membawa watak Laila dan digandingkan dengan D’Boy Hamdan sebagai Ibrahim serta Firdaus Karim yang memegang watak Mukhtar. Cerita Terang Malam pula akan dilakonkan oleh Nadia Brian dan Anwar Rusdini manakala Sa-Balik Baju kali ini akan dibawakan oleh Farah Ahmad dan Swarna Naidu. 

Storyteller Production melalui Penerbit Eksekutifnya, Azuwan Ahmad sangat berbangga dengan barisan pelakon yang sudi menyertai pementasan kali ini dan merasakan bahawa ia merupakan rezeki yang tidak disangka dapat bekerjasama dengan pelakon yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang lakonan. Pemilihan pelakon-pelakon ini adalah sesuai berdasarkan watak dalam setiap cerita dan Storyteller percaya mereka mampu untuk menggalas tanggungjawab ini. Azuwan juga berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan , Seni dan Budaya Malaysia kerana menyokong pementasan ini melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2024. 

Tiket-tiket untuk pementasan “Kerana Percayakan Siti” masih boleh diperolehi melalui laman web www.cloudjoi.com pada harga serendah RM 60 hingga RM 100. Segala pertanyaan boleh diajukan di nombor 011-28536571 (Ahmad) dan segala maklumat terkini boleh dilayari di laman Instagram storyteller_my .


Spread the love

More Stories

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page