Tawau Bergegar Semula Dengan Gig Tawau Hellbangers VI

Dentuman muzik metal telah menggegarkan suasana Gaharu Resort & Hotspring di Bandar Tawau, Sabah pada malam Ogos 9 yang lalu apabila siri persembahan Tawau Hellbangers kembali dengan edisi keenam, menghimpunkan kumpulan muzik ekstrem dari pelbagai genre untuk satu malam penuh tenaga dan semangat persaudaraan dalam komuniti muzik metal underground.
Acara anjuran kumpulan penganjur Tawau Hellbangers itu berlangsung jauh dari kawasan bandar, memberikan suasana lebih eksklusif buat peminat muzik metal keras yang hadir dari seluruh Sabah.

Menurut pemerhatian, persiapan dilakukan sejak sehari sebelum acara, termasuk pemasangan pentas dengan prop dan sistem pencahayaan yang mantap, mewujudkan suasana bersesuaian untuk persembahan muzik berintensiti tinggi.
Pada hari acara tersebut pula, persembahan dimulakan oleh Vengeance, kumpulan war metal yang membuka tirai dengan irama pantas dan vokal garang, sekali gus memanaskan suasana awal malam. Aura gelap yang dibawa band ini jelas memikat perhatian penonton yang turut berpeluang mendapatkan rilisan kaset terbaharu mereka di lokasi acara.

Tumpuan kemudiannya beralih kepada Evil Chariot, kumpulan black/thrash tempatan yang tampil bertenaga dan berjaya mencetuskan sorakan penonton. Karisma vokalisnya, Anz, dengan interaksi bersahaja menjadikan persembahan mereka antara yang paling diingati malam itu.

Memasuki segmen heavy metal klasik, Iron Bird membawakan nuansa era speed metal 80an dengan permainan muzik yang kemas dan bertenaga. Persembahan mereka mengundang reaksi positif, dengan ramai penonton mengambil peluang mendapatkan album dan barangan rasmi mereka.

Suasana kembali memuncak apabila Akagrish, yang sinonim dengan death metal Sabah, mengambil alih pentas. Gandingan riff gitar berat dan hentakan dram padu membuktikan reputasi mereka sebagai antara kumpulan tempatan paling berpengaruh dalam genre tersebut.

Tidak ketinggalan, Barbalans yang telah lebih dua dekad mengibarkan panji black metal Borneo, tampil dengan persembahan penuh intensiti, mengekalkan status mereka sebagai salah satu nama besar dalam senarai Tawau Hellbangers.

Sebagai penutup yang dinanti, Disobeyed — blackened death metal dari bumi Tawau — kembali menggegarkan pentas selepas beberapa tahun menyepi. Kemunculan semula mereka disambut bagai kepulangan wira, dengan barisan anggota baharu yang menghidupkan suasana melalui persembahan agresif dan bertenaga dari mula hingga akhir. Difahamkan, kumpulan ini kini giat menghasilkan material terbaharu yang pasti dinantikan peminat setia.

Secara keseluruhan, Tawau Hellbangers VI berjalan lancar dengan sokongan teknikal, kualiti bunyi dan pencahayaan yang memuaskan, serta pengurusan acara yang teratur. Gerai jualan barangan band dan pengedar muzik tempatan turut menerima sambutan hangat daripada pengunjung.
Acara ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan Tawau sebagai salah satu lokasi penting dalam peta penganjuran muzik ekstrem di Borneo, di samping menjadi platform untuk mempromosikan bakat-bakat tempatan kepada khalayak yang lebih luas.