Taruhan Terbaru iQIYI: Drama “Restu” Rungkai Misi Mencari Calon Isteri
Oleh: Zizi Hashim
Menonton drama ini, saya ikut terjebak merasakan kemelut seorang ayah tunggal yang berhadapan dengan cabaran dan dilema hidup dalam membesarkan anak perempuan tunggalnya yang kian meningkat remaja. Hal ini terpaksa dilakukan sendirian oleh Razak (lakonan Remy Ishak) setelah kematian isterinya, Julia. Amy (lakonan Puteri Rafasya) bukanlah seorang anak yang mendengar kata dan mudah untuk dibentuk, lebih bersikap tomboy dan suka bergaul dengan kawan lelaki berbanding perempuan.
Cabaran ini membuatkan Razak mengambil keputusan untuk mencari pengganti hidup namun anaknya telah meletakkan 3 syarat yang perlu dipenuhi. Siapakah calon bakal isteri Razak yang mendapat ‘restu’ dari Amy? Apakah pula syarat-syarat yang diletakkan oleh puteri tunggal kesayangan Razak? Semuanya bakal terungkai dalam RESTU. Tayangan perdana episod pertama drama RESTU direncanakan pada 26 April 2024 ini pada jam 9 malam di aplikasi iQIYI secara percuma atau laman web www.iQ.com/local
Selaras dengan suasana bulan Syawal yang masih lagi diraikan, iQIYI (disebut ai-chi-yi) ingin meneruskan lagi kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan mempersembahkan sebuah drama bersiri terbaru keluarannya. Platform penstriman terkemuka Asia yang berpengkalan di Singapura ini mempertaruhkan barisan pelakon handalan seperti Remy Ishak, Wanna Ali, Siti Elizad, Elizabeth Tan, Ahirine Ahirudin, Putri Rafasya dan ramai lagi. RESTU merupakan hasil terbitan bersama syarikat produksi Infinitus Production dan diarahkan oleh Pengarah terkenal tanahair, Heykal Hanafiah.
Projek drama ini mengambil masa 2 tahun untuk disiapkan, memaparkan jalan cerita, watak, genre dan strategi pemasaran yang terbaik bagi memastikan ianya menepati citarasa masyarakat tempatan. Pemilihan para pelakon juga dilakukan sangat teliti, tidak hanya fokus kepada populariti namun lebih kepada bakat versatile yang dimiliki oleh setiap pelakon demi mencapai objektif iQIYI dalam menghasilkan produk-produk berkualiti buat penonton semua.
Drama RESTU turut menyelitkan nuansa tipikal berkisar tentang hubungan ‘tidak aman’ atau ‘salah faham’ dengan ibu mertua dan wujud persaingan perebutan naik pangkat di tempat kerja, adalah antara lain konflik beragam yang ingin diceritakan. Lakonan hebat menghidupkan watak membawa kepada storytelling yang berkesan. Jalan cerita mulai berkembang namun terhenti di situ bila saya sudah ‘masuk’ menghayati cerita.
Sudah tentu tidak cukup dengan hanya menonton episod pertama sahaja. Penonton boleh membuat langganan akses VIP dan terus menonton apabila ianya tersedia untuk episod baru seterusnya nanti. Bagaimanapun, episod baru hanya boleh ditonton secara percuma 48 jam kemudian. Meskipun Remy Ishak memberitahu bahawa beliau tidak ada membuat research tentang watak ayah tunggal yang dibawakan kali ini, namun menurut saya lebih bagus begitu. Ini kerana riak wajahnya innocent ‘tidak tahu’ disebabkan pengalaman pertama kali tampak lebih genuine, tulus realitistik dan tidak dibuat-buat.
Saya percaya karektor setiap seorang calon isteri yang berwarna-warni akan menambah perisa pada drama RESTU ini. Saya sendiri tidak sabar ingin tahu bagaimana akhirnya misi mencari calon isteri yang bakal dihadapi oleh Razak. iQiyi meletakkan harapan agar drama ini dapat diterima ramai sekaligus mendapat ‘restu’ dari penonton. Usaha untuk mempamerkan kemahiran kreatif tenaga produksi dan bakat anak seni tempatan ke peringkat dunia adalah sesuatu yang wajar dipuji.
Muat turun aplikasi iQIYI di Apple Store atau Google Play Store sekarang. Taip RESTU di ruang carian, kemudian terus klik ‘Pesan’ untuk mendapatkan peringkat awal atau langgan Super Streamer Pass baharu oleh Hotlink dengan harga RM9.90 sahaja sebulan. Nikmati penstriman berdefinisi tinggi tanpa gangguan dengan internet 5G tanpa had. Boleh dilanggan oleh pelanggan Prabayar dan Pascabayar Hotlink dengan pas internet bulanan aktif.
Jangan lupa temujanji anda bersama drama RESTU bermula 26 April 2024, pada jam 9 malam (setiap Jumaat & Sabtu) yang menjanjikan sebuah pengalaman menarik dengan aspek kekeluargaan, percintaan dan pengorbanan.