November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Tanpa Sebab Kukuh, Kontrak Kaka Azraff Tiba-Tiba Tamat Tempoh

Spread the love

Oleh Zizi Hashim

Kontrak yang sepatutnya masih berbaki beberapa tahun lagi dan terbuka untuk opsyen samada diperbaharui atau dilanjutkan dari masa ke semasa, seperti yang berlaku sebelum ini sejak 2018 lagi, di antara Kaka Azraff dan Warner Music Malaysia telah tiba-tiba ditamatkan tempoh tanpa menyatakan sebab-sebab yang kukuh. Ianya akan tamat tempoh pada 31 Disember nanti, tentunya menimbulkan tanda-tanya itu ini begitu begini.

Berdasarkan pada kronologi yang terjadi, ramai pihak telah membuat spekulasi sendiri berkemungkinan perkara ini berlaku berikutan satu DM (direct message) yang telah dihantar secara berani oleh Kaka kepada Nathaniel Buzzolic (actor dari Australia) sebagai reaksi balas terhadap video propaganda di instastory yang dikongsi pelakon itu berkaitan isu Israel-Palestin. Kaka telah bersolidariti menegaskan kemarahannya dengan emosi yang dianggap keterlaluan.

“Benarkah disebabkan oleh DM saya yang bersimpati dan bersolidariti dengan rakyat Palestin dan Gaza serta menempelak Israel, kontrak saya ditamatkan?” soal Kaka, menuntut Warner Music Malaysia memberi sebab-sebab yang jelas kerana semuanya berlaku secara tiba-tiba. “Jika tidak benar, sila nafikan dan tolong berikan sebab.” Kaka Azraff ditemui pada sidang media petang 6 Disember bersama peguam yang dilantiknya, Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil. Surat balasan terhadap Notis Penamatan tersebut telah dihantar oleh pihak peguam Kaka pada 5 Disember sehari sebelum sidang media diadakan.

“Di pihak Kaka, kami percaya, Kaka tidak akan berdiam diri dan akan terus bersolidariti untuk Palestin dan rakyat Gaza bersama aspirasi From The River To The Sea.” hujah peguam Kaka lagi. Jelas terlihat pada raut wajah Kaka rasa tidak puas hati menerima notis tempoh 30 hari itu, sedangkan Kaka merupakan salah seorang artis yang paling lama di Warner Music Malaysia. “Paling tidak pun, saya seharusnya diberikan sebab rasmi yang menjelaskan mengapa dan kenapa. Spekulasi tentang DM yang tular, ingin saya tegaskan ianya bersifat peribadi. Sebagai seorang manusia, seorang ibu dan seorang wanita, saya berasa sangat marah pada ketika itu dan telah menekan reply, saya merasakan setiap orang mesti bersuara, walaupun sekecil-kecil kapasiti, walaupun dalam DM.”

Seperti yang semua sedia maklum tentang isu Israel-Palestin, siapa yang tidak marah dan bersimpati atas apa yang terjadi. Apatah lagi di Malaysia sebagai saudara sesama islam, sudah tentunya merasakan sangat dekat untuk membela nasib mereka di Gaza. Kaka mengakui telah memilih kata-kata yang agak kasar dan keras, tetapi ianya lahir dari rasa amarah, terlafaz secara spontan dan tidak terkawal. “Saya tetap berpendirian teguh dengan apa yang saya katakan dan tak akan menoleh ke belakang. Ini adalah jihad kecil saya.”

Menyerahkan isu perundangan penamatan kontraknya kepada Peguam yang telah di lantik, Kaka yang sangat berhati-hati ketika berbicara mengikut nasihat peguam kerana masih lagi bernaung di bawah Warner Music Malaysia kerana kontrak hanya akan tamat pada 31 Disember. “Kalau sudah ditamatkan, maka saya terima dan akur namun terma-terma kontrak akan diperhalusi oleh Peguam saya dan kami terbuka kepada sebarang perbincangan, jika perlu.” ujar Kaka menutup perbualan pada petang itu. Dalam masa yang sama, Kaka merasa terharu kerana mendapat sokongan keluarga, rakan artis dan rakyat Malaysia menyuarakan sokongan terhadap prinsipnya untuk terus bersolidariti buat Palestin.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page