November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Tango’ Bukti Transformasi Amir Hasan

Spread the love

Amir Hasan, 27 tahun seorang penyanyi dan pengubah lagu yang sebelum ini dikenali sebagai penyanyi lagu pop dan karyanya berunsurkan kebahagiaan dan keceriaan sejak kemunculannya pada tahun 2014, kini telah mengambil nafas baru dengan menghasilkan karya hip hop yang segar melalui single terbarunya yang berjudul ‘Tango’.

‘Tango’ mencerminkan evolusi seni dan fleksibiliti dalam dunia muziknya. Minat mendalam Amir terhadap muzik hip hop ini pun telah bermula sejak 15 tahun lalu, ketika usianya 12 tahun. Selain itu, Amir telah dibesarkan dengan karya-karya lagenda hip hop tempatan seperti Joe Flizzow dan Malique (Too Phat), serta penyanyi hip hop terkenal dunia, seperti Eminem. Hal demikian, telah membentuk kemahiran dalam nyanyian ‘freestyle’ dan mendorongnya menerokai genre yang dinamik ini.

Amir Hasan sangat teruja untuk mengambil cabaran ini bagi meluaskan lagi spektrum identiti muziknya. ‘Tango’ merupakan karya yang dihasilkan dari suara alter egonya dan tampil dengan gaya muziknya yang berbeza. Langkah berani ini juga mencerminkan tekadnya dalam menerokai karya hip hop ini dengan lebih jauh.

Lagu ‘Tango’ juga bakal memberikan pengalaman yang positif dan pengajaran yang baik kepada pendengar dalam menjalani kehidupan dengan penuh semangat dan dedikasi dalam menuju kejayaan pada masa yang akan datang.

“Lagu ini adalah berkisarkan mengenai bukti kepada diri kita sendiri bahawa setiap orang mampu mengatasi sebarang cabaran dalam hidup. Malah bukan dari mana asal usul kita, tetapi kejayaan ini dapat diukur dengan usaha gigih yang dilakukan dan jangan ada perasaan tidak percayaan pada diri sendiri kerana ia merupakan aspek negatif dan halangan untuk diri maju kehadapan”, jelas Amir

Proses penciptaan lagu bermula dengan sesi ‘freestyle’ yang spontan bersama rakan selebriti, Rebel Asia. Kemudian proses rakaman lagu ini hanya mengambil masa lima jam untuk menghasilkan lagu ini dengan sempurna.  Namun begitu, Amir mengakui bakal menghadapi cabaran akan datang kerana peralihan daripada penyanyi yang bergenre pop bertukar kepada muzik hip hop. Kemungkinan ianya bakal menimbulkan keraguan di kalangan peminat. Namun, perkara ini bukan halangan kepada Amir kerana kini lebih bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku.

“Melalui pertemuan spontan bersama Rebel Asia, kami melakukan ‘freestyle’ berdasarkan perjalanan dan pengalaman dalam dunia muzik kami, kemudian lagu Tango pun muncul dengan sendirinya dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk mengeluarkan single ini dibawah syarikat rakaman Sony Music Malaysia”, ujarnya lagi.

“Walaupun saya bakal mengharungi beberapa cabaran seperti penerimaan pendengar dan peminat terhadap lagu ini kerana genre yang berbeza berbanding lagu-lagu sebelum ini. Namun saya juga sangat yakin dengan lagu ini, bakal memenangi hati dan mendapat sambutan hangat dari peminat kerana karya ini bukan sahaja mengekalkan relevansi dengan tren terkini, tetapi juga merupakan citarasa pendengar sekarang terutamanya di laman sosial TikTok.”sambungnya lagi.

Selain itu, Rebel Asia juga berkongsi perasaannya yang sangat teruja apabila mendapat peluang untuk bekerjasama dengan Amir Hasan dalam lagu ‘Tango’ ini.

“Semestinya saya sangat excited kerana dapat melibatkan diri dalam lagu ‘Tango’. Kami berusaha dalam menyediakan sajian yang bermakna ini serta mengikut tren semasa yang mempunyai vibe hip hop yang catchy dan berharap pendengar dapat relate dengan diri mereka”, ujar Rebel Asia.

Peminat boleh dengarkan lagu ‘Tango’ yang kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page