“Syawal Rindu”: Gandingan Black Hanifah dan Adira Suhaimi Curi Perhatian Peminat Lagu Raya

Menjelang kehangatan sambutan Aidilfitri, dua nama besar dalam industri muzik tempatan, Black Hanifah dan Adira Suhaimi, bergabung tenaga dalam sebuah lagu raya baharu berjudul Syawal Rindu. Lagu ini hadir dengan nuansa emosi dan nostalgia yang pasti menyentuh hati para pendengar, terutama mereka yang berjauhan daripada insan tersayang.
Diterbitkan oleh Nova Music dan bakal dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac ini, Syawal Rindu membawa kisah kerinduan mendalam terhadap keluarga serta suasana lebaran yang tidak dapat dinikmati bersama orang tercinta. Dengan gabungan melodi syahdu dan lirik yang penuh perasaan, lagu ini dijangka menjadi siulan ramai sepanjang musim perayaan.
Dicipta oleh barisan komposer berbakat iaitu Rudy Nastia, Aiman Zaidi, Aizad Khan dan Kelana, manakala lirik pula ditulis oleh Aiman Zaidi, lagu ini menyerlahkan keharmonian vokal antara Black dan Adira – dua penyanyi yang dikenali dengan kekuatan vokal dan penghayatan mereka.

Menurut Black, Syawal Rindu bukan sekadar sebuah lagu raya biasa, malah ia mencerminkan realiti ramai individu yang tidak dapat kembali ke kampung halaman untuk beraya.
“Saya percaya ramai akan dapat menghayati mesej lagu ini, khususnya mereka yang terpaksa berjauhan dari keluarga. Lirik dan melodinya sangat menyentuh, membangkitkan rasa rindu dan kasih yang mendalam terhadap orang yang kita sayang,” ujar Black.
Tambahnya lagi, bait-bait lagu ini menggambarkan perasaan yang sangat dekat di hati banyak orang, terutama dalam era yang menuntut pengorbanan jarak dan masa.
Sementara itu, Adira meluahkan rasa teruja kerana dapat bekerjasama buat pertama kali dengan Black dalam projek ini.

“Saya rasa bertuah dapat berganding suara dengan Black. Kami saling memberi inspirasi dan sokongan ketika proses rakaman, menjadikan pengalaman ini sesuatu yang sangat bermakna buat saya,” katanya.
Adira turut berharap lagu ini mampu menyentuh hati pendengar dan menyemarakkan semangat Aidilfitri mereka dengan lebih bermakna.
Video muzik rasmi Syawal Rindu yang turut memaparkan elemen kemeriahan dan kesayuan lebaran, akan ditayangkan di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ bermula 14 Mac jam 3 petang. Ia boleh ditonton melalui pautan berikut: https://youtu.be/Hc3caYxUNNM?si=CcKOWrW_zKwWEtCM
Lagu ini juga boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.