Syasya Rizal Kongsi Cerita Raya Sederhana Dalam Single Baharu
Penyanyi muda berbakat, Syasya Rizal tampil menyemarakkan musim perayaan tahun ini dengan single Hari Raya terbaharu berjudul “Inikan Hari Raya.”
Lagu ceria itu membawa mesej kebersamaan, rasa syukur dan kesederhanaan, selain mengingatkan bahawa makna sebenar Aidilfitri bukan terletak pada kemewahan, sebaliknya pada kebahagiaan yang dikongsi bersama keluarga serta insan tersayang.
“Inikan Hari Raya” ditulis oleh Syasya bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus, manakala Amirul Azhar turut bertindak sebagai penerbit. Lagu ini dimulakan dengan progresi kord yang ringkas serta alunan dram ringan yang mencipta suasana hangat dan penuh semangat perayaan.
Melodinya kemudian berkembang secara semula jadi dengan bahagian korus sebagai tunjang utama, sementara susunan muzik dibina secara berlapis bagi memberi tenaga yang semakin meningkat sehingga ke bahagian korus yang ceria dan mengangkat suasana Raya.
Melalui bunyi yang ceria dan lirik yang menyentuh hati, lagu ini turut menyampaikan peringatan bahawa Hari Raya tetap bermakna walaupun disambut secara sederhana sama ada dengan memakai baju lama atau meraikannya secara ringkas, asalkan dapat berkumpul bersama orang tersayang.
Menurut Syasya, mesej kesederhanaan dan rasa syukur itu sangat dekat dengan dirinya.
“Bagi Syasya, Hari Raya sebenarnya sangat dekat dengan rasa syukur. Kadang-kadang bila kita tengok di media sosial, Raya nampak macam semuanya perlu besar dan sempurna kena ada baju banyak pasang, rumah cantik dan semuanya nampak mewah.

“Tapi realitinya tak semua orang sambut Raya macam itu. Raya bukan tentang apa yang kita tunjuk, tetapi tentang siapa yang masih ada di sekeliling kita. Lagu ‘Inikan Hari Raya’ ini sebenarnya seperti peringatan lembut bahawa kebahagiaan Raya tak semestinya datang daripada kemewahan, tetapi daripada rasa cukup dan menghargai apa yang kita ada,” katanya.
Single ini juga menjadi pencapaian istimewa buat Syasya kerana ia merupakan kali pertama dirinya terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu.
“Ini pengalaman pertama Syasya terlibat secara langsung dalam proses menulis lagu. Jadi ia sangat istimewa kerana mesej yang disampaikan benar-benar datang daripada hati Syasya sendiri kepada para peminat.
“Proses menulis bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus juga sangat menyeronokkan kerana mereka banyak membimbing Syasya tentang bagaimana membina melodi, emosi dan cerita dalam sebuah lagu,” katanya.
Dalam masa sama, Syasya mengakui sambutan Hari Raya kini membawa makna lebih mendalam selepas dirinya berkeluarga.
“Sekarang Raya terasa lagi berbeza untuk Syasya sebab Syasya dah ada keluarga sendiri. Ada suami di sisi dan sekarang ada dua bayi comel, Obot dan Obit yang buat suasana Raya jadi lebih hidup.
“Bila ada anak, kita mula sedar Raya bukan lagi tentang kita. Kita mula cipta memori Raya untuk mereka pula. Bagi Syasya, itulah sebenarnya makna Raya yang paling indah,” katanya.

Syasya berharap lagu ini dapat mengingatkan pendengar tentang perkara kecil yang sebenarnya paling bermakna ketika musim perayaan.
“Syasya harap bila orang dengar lagu ini, mereka akan teringat perkara kecil yang sangat bermakna waktu Raya seperti bangun pagi Raya, bau rendang dari dapur atau makan bersama keluarga.
“Mungkin ada yang sambut Raya secara sederhana, tetapi semua itu tetap berharga. Lagu ini juga mengingatkan kita supaya sentiasa bersyukur dan berempati dengan mereka yang mungkin tidak dapat merasai kegembiraan Raya seperti kita,” katanya.
Pada masa sama, Syasya berharap “Inikan Hari Raya” mampu menjadi salah satu lagu yang mengiringi kenangan Aidilfitri pendengar setiap tahun.
“Kalau suatu hari nanti ada orang cakap lagu ini mengingatkan mereka kepada kenangan Raya bersama keluarga, itu sebenarnya hadiah paling besar untuk Syasya sebagai seorang penyanyi,” katanya. “Inikan Hari Raya” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital
