Syamel Rakam Emosi Cinta Tak Kesampaian Menerusi “Berakhir Kita”

Selepas sekian lama menyepi dengan karya balada, penyanyi bersuara lantang, Syamel, kembali menyentuh emosi pendengar menerusi single terbaharunya berjudul “Berakhir Kita”, ciptaan Shazriq Azeman dan Omar K, yang turut bertindak sebagai penerbit lagu tersebut.
Diterbitkan hasil kolaborasi antara Universal Music Malaysia, Maison Management, dan Global Keynote Sdn. Bhd., lagu ini mengangkat tema cinta yang tidak kesampaian, membawakan naratif tentang perhubungan yang terhenti sebelum sempat berkembang.
“Berakhir Kita adalah lagu yang cukup dekat dengan pengalaman ramai. Ia mengungkapkan kepiluan melihat harapan cinta musnah di depan mata,” ujar Syamel ketika ditemui. “Lagu ini mewakili suara mereka yang pernah mengalami kekecewaan cinta yang tak berpenghujung.”
Menurut Syamel, pengalaman bekerjasama dengan Omar K dan Shazriq membuka ruang kreatif yang luas dan selesa dalam proses rakaman.
“Mereka berikan saya kebebasan untuk menyampaikan lagu ini mengikut keunikan gaya nyanyian saya. Itu menjadikan pengalaman di studio lebih bermakna,” jelasnya.
“Berakhir Kita” turut dilengkapi dengan paparan visual yang akan digabungkan bersama sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Elemen visual ini dijangka memberi kesan mendalam dan memperkukuh mesej lagu.
“Bila digabungkan dengan babak-babak yang menyentuh emosi dalam drama, saya percaya lagu ini akan lebih meninggalkan impak kepada penonton dan pendengar,” tambahnya.
Syamel turut mengakui kekuatan pasukan produksi di sebalik tabir memainkan peranan penting dalam menjayakan karya ini.
“Setiap individu yang terlibat memberikan komitmen yang tinggi. Lagu ini terhasil dengan penuh jiwa dan keikhlasan,” katanya.
Dengan harapan tinggi terhadap penerimaan lagu ini, Syamel menzahirkan impian agar “Berakhir Kita” mampu menjadi pengubat hati buat mereka yang terluka dalam cinta.
“Saya berharap lagu ini dapat menjadi cerminan perasaan pendengar, dan mungkin juga memberi ruang untuk mereka meluahkan rasa yang selama ini terpendam,” katanya lagi.
“Berakhir Kita” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital mulai 6 Ogos 2025.