Syamel Kembali Dengan Lagu Sarat Emosi, “Beribu Tanda Tanya”

Penyanyi berbakat besar, Syamel, kembali mencuri perhatian dengan single terbaharunya berjudul “Beribu Tanda Tanya”, sebuah lagu yang sarat dengan emosi, persoalan, dan luahan jiwa tentang keresahan hati yang tidak terjawab. Karya ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim, yang bertindak sebagai penulis lirik, komposer, dan penerbit.
Menurut Syamel, lagu ini membawa pendengar menyelami perasaan seseorang yang dihantui tanda tanya dalam hati dan minda. “Beribu Tanda Tanya menceritakan tentang persoalan yang membelenggu fikiran dan hati seseorang. Dia meluahkan rasa melalui nyanyian yang penuh harapan, kesedihan, dan persoalan yang tidak berpenghujung,” jelasnya.
Menariknya, keseluruhan proses rakaman dijalankan di Voltalab Sound Studio di Manchester, United Kingdom, di bawah bimbingan Edry sendiri. Projek ini merupakan kerjasama antara Universal Music Malaysia dan Alternate Records.
“Lagu ini saya anggap ‘mahal’ kerana saya perlu ke Manchester untuk berjumpa dengan Edry. Semua proses — dari rakaman hingga pembikinan visualizer — dilakukan sepenuhnya di sana. Pengalaman ini amat berharga kerana kami menggunakan khidmat jurutera bunyi tempatan dan studio yang mempunyai sejarah besar. Antara artis legenda UK seperti Oasis pernah merakamkan lagu mereka di studio yang sama. Saya rasa amat bertuah dapat merakam Beribu Tanda Tanya di situ,” ujar Syamel dengan bangga.

Dari segi penyampaian, Syamel berharap pendengar dapat benar-benar menghayati mesej dan melodi lagu ini. “Lagu ini dibina berdasarkan persoalan dalam liriknya. Ramai pasti pernah melalui situasi hubungan yang tergantung tanpa jawapan. Saya harap apabila orang mendengarnya, mereka akan rasa dekat dengan kisah ini,” tambahnya.
Menambah nilai sentimental, Beribu Tanda Tanya turut dipilih sebagai lagu tema (OST) bagi drama bersiri baharu “Doa Yang Terlindung”, yang bakal disiarkan di Media Prima tidak lama lagi. Drama tersebut dijangka menyentuh hati penonton dengan jalan cerita yang penuh emosi dan pengajaran.
Mengakhiri perkongsiannya, Syamel menyatakan harapan agar lagu ini terus hidup dalam jiwa pendengar. “Saya harap Beribu Tanda Tanya menjadi lagu evergreen yang tidak pernah jemu didengar. Kadang-kadang, melalui lagu ini, kita belajar bahawa lebih baik bertanya daripada terus berdiam diri. Semoga lagu ini kekal mekar di hati peminat saya selamanya, insya-Allah,” katanya.
Dengan vokal mantap dan penyampaian penuh penghayatan, “Beribu Tanda Tanya” membuktikan kematangan Syamel sebagai penyanyi dan penginterpretasi emosi. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.