Sweet Charity Gegar WTC 27 Disember Ini, Konsert Amal 4 Jam Demi Kebajikan Artis
Barisan Legenda Muzik Bersatu Dalam Konsert Makan Malam Amal The Legends Anjuran Karyawan, Dana Disalur Bantu Penggiat Seni Memerlukan
Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bakal menganjurkan Konsert Makan Malam Amal The Legends pada 27 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC Kuala Lumpur), menampilkan persembahan selama empat jam oleh barisan legenda muzik tanah air dalam usaha mengumpul dana bagi membantu artis dan penggiat seni yang memerlukan.
Konsert berkonsepkan nostalgia dan kebajikan itu meletakkan Sweet Charity sebagai tarikan utama, dengan kumpulan rock legenda berkenaan dijangka menghidupkan malam istimewa tersebut menerusi rangkaian lagu malar segar yang sinonim dengan perjalanan seni mereka sejak puluhan tahun lalu.

Majlis berprestij itu turut mendapat penghormatan apabila YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dijadualkan hadir sebagai Tetamu Kenamaan bagi merasmikan konsert amal berkenaan.
Selain Sweet Charity, konsert ini akan dimeriahkan dengan persembahan daripada Dato’ Khadijah Ibrahim, Dato’ Ito (Blues Gang), Kopratasa, Dato’ Andre Goh, Helen Velu dan Mariam Ahmad, sekali gus menjanjikan kepelbagaian genre serta warna muzik yang merentas generasi.
Bagi menambah kelainan, penganjur turut mempersembahkan segmen khas ‘Master Guitarist Showcase’, menghimpunkan empat gitaris tersohor tanah air iaitu Simon (Carefree), Kid (Search), Shahrul (Ekamatra) dan Man Kidal, yang dijangka mempersembahkan persembahan gitar epik sebagai antara kemuncak konsert.
Menurut Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Dato’ Freddie Fernandez, konsert ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Karyawan mengumpul dana bagi Tabung Kebajikan Karyawan, yang selama ini membantu artis veteran dan penggiat seni berdepan masalah kesihatan, kewangan serta kelangsungan hidup.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi usaha bersama untuk memastikan kebajikan warga seni terus terbela. Ramai artis veteran memerlukan sokongan, dan melalui acara inilah kita menghulurkan bantuan agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, hasil kutipan menerusi jualan meja makan malam dan tiket akan disalurkan sepenuhnya kepada penerima yang layak, selain beberapa ahli Karyawan yang memerlukan akan menerima sumbangan secara langsung pada malam konsert tersebut.

Ikon Rock Nusantara, Dato’ Ramli Sarip, menyifatkan penganjuran konsert amal ini sebagai lambang solidariti warga seni.
“Seni bukan sekadar hiburan, tetapi wadah kebersamaan. Malam ini kita bukan sahaja menghiburkan peminat, sebaliknya memberi kembali kepada rakan seperjuangan yang pernah membina industri muzik tanah air,” katanya.
Sementara itu, kumpulan Kopratasa menyatakan rasa bangga dapat terbabit dalam konsert berunsur kebajikan yang mengangkat nilai kemanusiaan dalam dunia seni.

Bagi memastikan lebih ramai peminat dapat menyertai acara ini, Karyawan menawarkan tiket berharga RM88, manakala meja makan malam dijual mengikut beberapa kategori bermula RM3,000 ke atas. Tiket boleh didapati menerusi www.ticket2u.com/konsertlegends.
Untuk pertanyaan penajaan atau maklumat lanjut, sila hubungi:Dato Khadijah Ibrahim +0162338888 atau Dato Freddie Fernandez +0122071400.
