September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

SWARIA Berhalusinasi Mengenai ‘Gadis Angkasa’

2 min read
Spread the love

Kumpulan yang berpangkalan di Kuala Nerang, Kedah – Swaria, melancarkan sebuah EP 5 lagu bertajuk Gadis Angkasa pada 30 Ogos 2024. Swaria dibarisi oleh Azwan (pemain bass), Fazrul (pemain dram), Fawwaz (pemain gitar) dan Luqman (penyanyi, pemain gitar).

Mereka mempertaruhkan muzik berunsur indie rock, alternatif, post-punk revival dan pop surf, dan memetik Da Vagabonds, Toko Kilat, Dick Dale, The Strokes dan Arctic Monkeys sebagai pengaruh utama. Melihatkan lapangan muzik alternatif Kedah yang kecil dan terhad, Swaria boleh dianggap sebagai satu supergroup yang menyatukan ahli kumpulan dari kumpulan muzik yang berlainan serata Kedah.

Menurut Luqman, ahli kumpulan Swaria bersatu kerana kematangan atas pengalaman yang mereka kumpul daripada kumpulan sebelumnya. Oleh sebab itu, walaupun dikira sebagai sebuah kumpulan yang baru, mereka sudah tahu selok-belok untuk mengemudi kumpulan dan kini lebih matang dalam penulisan lagu.

Gadis Angkasa merupakan lagu tunggal (single) pertama yang dipertaruhkan pada 22 Jun 2024, lantas diangkat menjadi tajuk EP ini. Ia adalah careka tentang pelayar yang berhalunisasi angkara mabuk laut dan disapa oleh seorang gadis yang turun dari langit. Namun pelayar tersebut tidak dapat memastikan adakah gadis tersebut benar-benar wujud ataupun hanya akibat kesan khayalannya.

Succubus pula adalah lagu tunggal (single) kedua yang dilancarkan pada 19 Julai 2024. Lagu ini sudahpun dipentaskan beberapa kali sebelum dirakam. Fazrul juga menyatakan bahawa lagu ini selalunya dipersembahkan sebagai penutup persembahan langsung, dan selalunya ianya akan mendapat sambutan pendengar yang akan turut menyanyi dan menari bersama.

Menurut Swaria, Succubus menjadi kapsul emosi bagi mereka kerana beberapa kejadian yang di luar jangka terjadi ketika proses rakaman, sehingga menimbulkan sedikit perbalahan dengan pihak ketiga. Kerana itulah lagu ini sentiasa dipersembahkan dalam keadaan yang penuh adrenalin, dan mungkin sedikit marah.

EP Gadis Angkasa diadun oleh Fawwaz manakala adunan rapi (mastering) oleh Mokhtarizal (iseekstudio). Keseluruhan produksi dan rakaman dilakukan oleh ahli kumpulan Swaria sendiri. Terbitan ini memuatkan 5 lagu – Succubus, Gadis Angkasa, Kendali Diri, Bidadari, dan S.B.B.

Swaria akan menganjurkan sebuah acara pelancaran EP pada 14 September 2024, bertempat di The Acara, Alor Setar, Kedah. Turut bersama acara ini adalah Senjana, Floret, dadu dan Zuuraa. Maklumat lanjut boleh dilihat di laman Instagram rasmi Swaria: https://www.instagram.com/p/C_RuUKWSWdR/


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page