Suria FM Raih Anugerah Seri Angkasa 2024 bagi Rancangan Agama Radio Terbaik
Suria FM mencatat sejarah manis apabila berjaya merangkul Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA) bagi kategori Rancangan Agama Radio Terbaik melalui program “30 Hari Mencari Cinta Ilahi bersama Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa”. Pengiktirafan ini diumumkan pada malam kemuncak ASA 2024 yang berlangsung pada 26 Oktober 2024 (Sabtu) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Diterbitkan oleh Farhana Najlaa, program ini membawa tema cinta dan pengabdian kepada Tuhan menerusi tazkirah, perkongsian rohani, dan pengalaman kehidupan masyarakat. Kejayaan ini membuktikan kemampuan Suria FM dalam menyampaikan mesej agama secara lebih dekat dan mudah diterima pendengar.
“Suria FM sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya meraih Anugerah Seri Angkasa 2024 untuk kategori Rancangan Agama Radio Terbaik,” kata Suria FM dalam satu kenyataan akhbar.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, turut menzahirkan rasa syukur atas kemenangan tersebut.
“Kemenangan ini adalah hasil usaha gigih pasukan Suria FM, terutama penerbit Farhana Najlaa, serta semua yang terlibat dalam penghasilan program ini. 30 Hari Mencari Cinta Ilahi bersama Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa bukan sahaja berjaya mendidik jiwa tetapi turut menyentuh perasaan para pendengar. Anugerah ini adalah penghargaan atas komitmen kami dalam menghasilkan kandungan yang bermanfaat, relevan, dan bermakna untuk masyarakat,” ujar DJ Lin.
ASA merupakan acara berprestij dalam industri penyiaran Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi. Anugerah ini diberikan kepada program dan personaliti penyiaran terbaik berdasarkan kualiti produksi, kreativiti, dan impak kandungan, yang dinilai sepenuhnya oleh panel juri profesional.
Sebanyak 60 kategori dipertandingkan untuk ASA 2024, termasuk 40 kategori televisyen, 16 kategori radio, dan 4 kategori media baharu.
Suria FM menyatakan kesyukuran atas pengiktirafan ini dan berjanji akan terus komited untuk menyediakan kandungan berkualiti tinggi dan berinformasi kepada para pendengar.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Suria di suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia:
Instagram: @suriamalaysia | Facebook: @SuriaMalaysia | TikTok: @suriamalaysia | YouTube: SuriaTV | X (Twitter): @suria_malaysia