November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Sum 41 Bakal Mengucapkan Selamat Tinggal Kepada Peminat Mereka Di Malaysia Pada Mac 5 Tahun Ini

iHeartRadio ALTer Ego 2024/ Foto dari laman Facebook rasmi Sum 41

Spread the love

Kumpulan rock Sum 41 kini kelihatan sudah bersedia untuk kembali ke Kuala Lumpur tahun ini untuk membuat sebuah persembahan konsert yang mungkin akan menjadi persembahan terakhir mereka di ibu negara Malaysia. Ini adalah kerana kumpulan dari Kanada itu telah mengumumkan pembubaran mereka pada bulan Mei tahun lepas dan kini sedang melakukan sebuah jelajah tour yang dikenali sebagai ‘Sum 41: Tour of the Setting Sum’ untuk mengucapkan selamat tinggal kepada peminat-peminat mereka di seluruh dunia.

Persembahan mereka Kuala Lumpur tahun ini adalah salah satu daripada tarikh dan tempat yang menjadi sebahagian daripada jelajah tour tersebut. Konsert itu juga merupakan satu persembahan istimewa buat peminat mereka di Malaysia, kerana setakat ini, kumpulan itu hanya mengumumkan tiga lagi pertunjukan yang lain di Asia iaitu di Jepun, Singapura dan Indonesia untuk jelajah tour tersebut juga.

Dijadual untuk diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada Mac 5 tahun ini, persembahan mereka yang akan datang di ibu negara dijangka membuatkan peminat mereka tidak sabar-sabar untuk menyaksikan persembahan langsung ikonik mereka mungkin buat kali terakhir di Malaysia. Ini adalah kerana konsert yang dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Happy Moon bukanlah sebuah konsert untuk mengucapkan selamat tinggal atau “farewell concert” yang biasa juga. Ramai pastinya sudah tahu yang Sum 41 adalah sebuah kugiran yang unik yang dikenali ramai peminat muzik dari seluruh pelusuk dunia.

Sum 41 secara meluas dianggap sebagai kumpulan rock yang sangat berpengaruh dan berjaya, terutamanya dalam genre pop-punk dan rock alternatif. Dengan persembahan yang bertenaga, melodi muzik menarik dan lirik mereka yang bergema dengan perasaan peminat mereka, mereka berjaya menjadi sebuah band yang mempunyai ramai peminat di seluruh dunia. Kumpulan itu juga telah menerima pelbagai pujian untuk muzik mereka, dengan beberapa album dan single mereka berjaya memasuki carta di peringkat antarabangsa dan merangkul pelbagai anugerah serta pencalonan untuk anugerah.

Album mereka yang paling laris, “All Killer No Filler” yang dikeluarkan pada tahun 2001, telah memberikan mereka kejayaan arus perdana dengan single hit mereka seperti “Fat Lip” dan “In Too Deep” juga dan sejak album mereka itu keluar, Sum 41 terus mengembangkan bunyi muzik mereka sambil mengekalkan gaya mereka yang tersendiri. Muzik mereka berjaya menambat hati peminat kerana mereka meneroka tema pemberontakan belia, isu masyarakat dan perjuangan peribadi melalui muzik yang dihasilkan oleh mereka.

Oleh kerana itu jelajah mereka kali sudah tentu sangat bermakna, kerana ianya bukan sahaja ucapan selamat tinggal Sum 41 kepada peminat meereka, tetapi juga menandakan berakhirnya sebuah era dan perjalanan muzik sebuah band yang telah meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam hidup peminat muzik seluruh dunia yang mengikuti perjalanan seni mereka.

Persembahan mereka di Kuala Lumpur tahun ini bagaimanapun bukanlah penampilan pertama di Malaysia kerana mereka pernah membuat persembahan di Kuala Lumpur pada tahun 2012 di KL LIVE dan peminat mereka sudah tentu mereka akan ingin menyaksikan Sum 41 beraksi semula di Kuala Lumpur tahun ini, kerana mereka yang pernah menyaksikan persembahan mereka di Kuala Lumpur pada tahun 2012 sudah pasti akan menceritakan yang mereka hanya mempunyai kenangan manis yang dibawa pulang daripada menyaksikan konsert tersebut juga.

Terdapat tiga jenis tiket atau zon yang disediakan untuk konsert Sum 41 di Kuala Lumpur pada Mac 5 ini, iaitu CAT 1 – Tempat Duduk VIP (RM349), CAT 2 – Tempat Duduk Biasa (RM299), dan Rockzone – Berdiri Bebas (RM249). Tiket konsert tersebut kini telah dijual di laman web rasmi Hitman Solutions juga.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page