Suka Duka 17 tahun Hael Husaini tercatat dalam ‘Antonim Part 1’
Oleh: Zizi Hashim
“Hingga aku terlebih usia, aku mencintamu dengan tulus… Biar aku terlebih usaha, lelah nafasku lena malammu.” sebaris rangkap dipetik dari lagu “Usia” caturan terbaru dari Hael Husaini yang telah dilancarkan seiring bersama 5 buah lagu lain yang tercatat dalam album ANTONIM (PART 1), sebuah naskhah istimewa paling terkini dan paling dinanti-nantikan oleh semua. Memilik melodi yang cukup indah, “Usia” telah menjadi siulan ramai meski baru saja dilancarkan. Muzik video telah ditayangkan khas di skrin layar lebar pada malam pelancaran album tanggal 10 Januari bertempat di The Bee, Publika baru-baru ini. Menjalani penggambaran di Korea Selatan, muzik video itu boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Hael Husaini Official bermula pada 12 Januari nanti.
“Menceritakan nukilan hidup suka duka saya bergelumang selama 17 tahun dalam dunia seni yang ditempuhi ini, seorang Hael Husaini yang anda lihat hari ini, sangat teruja dengan sambutan cukup hebat dan luarbiasa yang tidak dijangkakan.” sedikit bergetar intonasi suara Hael Husaini ketika dimaklumkan tentang kehebatan album ANTONIM (PART 1) yang menduduki posisi nombor 1 di carta iTunes Malaysia dan juga Brunei berdasarkan jualan digital. Manakala di Apple Music Malaysia pula, ia berada di kedudukan nombor 2 berdasarkan jumlah penstriman pendengar hanya pada hari pertama album dilancarkan.
“Saya tak pernah rasa pengalaman sebegini, seluruh pasukan kerja dan label pun sama terkejut. Dengan itu saya sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan saya yang setia dan sentiasa bertungkus-lumus dalam menjadikan album ini sebuah kenyataan.” dari riak wajahnya jelas nampak terharu, Hael menyambung “Terima kasih buat En. Prem, kesemua wakil muzik dari label saya, penulis serta juga penerbit, wakil pegawai seranta saya, pihak pengurusan Virus Unggu Entertainment, rakan-rakan media, keluarga yang menyokong dan terutamanya peminat semua, Haelers.”
ANTONIM (PART 1) memuatkan 6 buah lagu paling terkini hasil karya barisan komposer-komposer ternama seperti Ezra Kong, Omar K, Iqie Hugh, Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Hael sendiri turut menyumbang dalam penciptaan lagu untuk album yang telah pun berada di pasaran sejak 5 januari lagi. Menelan masa selama 3 tahun untuk disiapkan, album ini telah melalui pelbagai proses, antaranya ialah pemilihan lagu-lagu yang telah Hael sendiri short-list kan dengan memilih hanya 6 lagu daripada 20 buah lagu kesemuanya. Lagu-lagu yang terpilih itu dijangka semuanya bakal hits kerana setiap satunya sangat istimewa dan bermakna bagi Hael dari sudut peribadi.
Mempertaruhkan “Diam”, “Usia”, “Kejora”, “Please”, “Hero” dan “Sama Seperti Dahulu” (versi orkestra), Hael menyatakan harapan tinggi dengan menjadikan ANTONIM (Part 1) sebagai medan untuk beliau berkarya meskipun konsepnya berlawanan dengan apa yang sering dihidangkan buat para pendengar sebelum ini. Bagaimanapun, keseluruhan lagu yang terkandung di dalam album masih berkonsepkan Pop dengan nuansa Balada serta Rock.
Hael Husaini yang begitu menjaga ketrampilan diri tampak kacak dan segak bergaya pada malam pelancaran album itu mengenakan blazer kelabu dan celana hitam lengkap bertali leher dengan stail rambut yang kemas dan trending, menjadi trademark beliau selama ini. Selepas beberapa siri penyampaian plak khas buat barisan komposer yang turut hadir malam itu, Haelers mula riuh menjerit pekik mahu mendengarkan Hael berlagu. Suasana The Bee, Publika yang crowded menjadikan malam begitu hangat. Rata-rata semuanya tidak sabar lagi menunggu dan mulai resah gelisah.
Sorakan bergema sebaik sahaja Hael muncul bersama bandnya dan mengalunkan lagu pertama untuk malam itu berentak Pop Rock iaitu “Hero”. Diikuti rapat dengan lagu “Usia”, salah satu lagu yang dijangka menyamai atau bersaing populariti lagu “Haram” dan “Jampi”. Haelers semakin menggila apabila barricade dibuka dan terus berasak-asak memenuhi ruang hadapan pentas. Hael bercerita agak panjang lebar tentang lagu “Please” yang sangat istimewa baginya dan mengajak semua yang hadir menghayati liri lagu tersebut. Hampir seluruh The Bee, Publika sama-sama sing-along dengan nada seterusnya iaitu “Kejora” yang dikatakan menjadi lagu wajib untuk Hael menyanyikan pada malam itu. Seterusnya Hael menutup mini showcase pada malam itu dengan 1 lagi lagu wajib yang telah pun menjadi pujaan ramai iaitu “Diam”.
Ditemui setelah usai persembahan, Hael yang kelihatan begitu bersemangat berkata “Untuk album Kedua nanti, ANTONIM (Part 2), saya mejangkakan akan ada lebih banyak kejutan buat penggemar muzik saya kerana saya akan mengenengahkan pelbagai pembaharuan tentunya.” Namun ketika disentuh mengenai isu sedikit kontroversi iaitu penggunaan perkataan ‘Celaka’ yang dikatakan agak kasar dalam lirik lagu “Diam”, Hael membidas dengan tegas “Cubalah kaji atau dengar dari sudut yang positif. Perkataan itu sebenarnya membawa maksud ‘malang’, atau menggambarkan nasib tidak baik seseorang, menyatakan kemarahan atau kekecewaan. Hanya ianya telah disalah-gunakan oleh masyarakat kita.”
Justifikasi Hael lagi, “Saya memang dah kaji perkataan ini sebelum memuatkan dalam lirik lagu tersebut. Saya pun dah tahu akan jadi kontroversi namun saya tahu batas-batas saya sejak sekian lama dalam dunia seni ini. Nak menjaga sensitiviti orang Malaysia ni tidak mudah ya. Cuma kita kena ubah mentaliti kita. Saya minta maaf jika perkataan Celaka menyinggung mana-mana pihak kerana kedengaran kasar tetapi cubalah berfikiran terbuka dan mendengarnya dari sudut positif.”
Meminta semua pihak menerima karya-karya beliau, Hael turut mengajak berlapang dada dalam menerima pembaharuan muzik serta memberi lebih kebebasan kepada anak seni untuk terus berkarya dan seni terus diapreasiasi. Sesuai dengan judul album beliau ANTONIM, pendekatan yang cuba diserapkan oleh Hael berlawanan dengan kefahaman pendengar. Bahasa kasar atau kesat adalah antonim kepada ‘makna sebenar’ perkataan tersebut yang digambarkan dengan jelas melalui lirik “Diam sudah cukup sudah diam, sungguh celaka celaka, Celakanya diri ini kenali manusia seperti kamu.”
“Saya mahu jadi seperti Tan Sri Michelle Yeoh, mampu pergi jauh dan berjaya, mana tau kan? Mungkin saya boleh jadi wakil dalam bidang muzik pula.” Senyuman penuh harapan terpamer di bibir Hael Husaini, menutup bicara malam itu.