September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Stadium Nasional Bukit Jalil Lokasi Baharu Konsert MUSE 29 Julai Ini

2 min read
MUSE NEW VELUE

MUSE WOTP NEW VANUE

Spread the love

Konsert band rock popular England, Muse pada 29 Julai ini yang sepatutnya berlangsung di Bukit Kiara Equestrian Resort kini ditukar ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penganjurnya, Hello Universe dalam satu kenyataan media berkata, konsert jelajah Will Of The People ditukarkan ke lokasi itu berikutan kemudahan terkini dan kapasiti besar, sekali gus memberikan keselesaan kepada peminat.

Justeru, peminat Muse boleh mengharapkan pengalaman menyeronokkan di salah satu lokasi ikonik di rantau ini.

Bagi pemegang tiket sedia ada, tiket yang dikemaskini dengan maklumat lokasi baharu akan dihantar menerusi e-mel ke akaun berdaftar pembeli.

Mereka akan dapat menggunakan tiket baharu ini untuk masuk ke acara di lokasi baharu. Lokasi tiket untuk zon A, B dan C kekal sama.

Susunan tempat duduk untuk zon lain akan diselaraskan untuk menyesuaikan penonton di lokasi baharu, selain tempat duduk juga ditetapkan tempat baharu.

Tiket konsert berkenaan boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com.my.

Muse yang popular menerusi lagu Supermassive Black Hole, Starlight dan Time Is Running Out itu pernah mengadakan konsert sulung di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 2007.

Kali terakhir kumpulan dianggotai oleh Matthew Bellamy (penyanyi, gitar), Chrisopher Wolstenholme (bass) dan Dominic Howard (dram) itu mengadakan persembahan di Asia pada 2019 menerusi acara Singapore Grand Prix yang juga sebahagian dari siri jelajah Konsert Simulation Theory.

Terdahulu, Kuala Lumpur adalah satu-satunya destinasi persinggahan Muse di rantau Asia dalam konsert jelajah itu.

Memetik kenyataan media tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Hello Universe, Adam Ashraf berkata, pihaknya teruja apabila pemenang dua kali Grammy Awards itu memilih Malaysia sebagai destinasi eksklusif.

“Menerusi kenyataan Muse sebelum ini, mereka tidak mempunyai perancangan mengadakan konsert jelajah di Asia. Justeru, ini berita amat menggembirakan apabila Muse menyatakan persetujuan untuk mengadakan persembahan di Malaysia. Tambahan pula, banyak negara Asia yang berminat untuk menganjurkan konsert Muse.

“Kami menunggu hampir lima bulan untuk Muse menyatakan persetujuan selain mengadakan perbincangan dengan wakil pengurusan Muse di London,” ujarnya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page