ST12 Berjaya ‘Hapus Airmata’ Lebih 2400 Peminat
Oleh: Awek Samurai
“Sudah Ku Bilang Hapus Airmata Cintaku Hilang Meninggalkan Mu “, masih terngiang-ngiang di kuping telinga bait-bait lirik lagu ‘Terjatuh’ nyanyian Firman dan ST12.
Konsert ‘Malam Galau Featuring ST12’ terlebih dahulu dibuka oleh Kazam Band, meskipun sebagai pemanas acara. Kazam Band ternyata bijak mengawal emosi khalayak yang sudah memenuhi setiap ruang di Zepp Kuala Lumpur.
Lebih 2400 peminat nyata cukup terbuai dengan deretan lagu yang menjadi wadah Kazam Band, meskipun membawa lagu-lagu saduran termasuk sebuah lagu daripada Sheila On 7 yang berjudul ‘Ku Petik Bintang’. Pentas kemudiannya diserahkan kepada Aufahanie, seorang pendatang baru yang semakin menyinar bintangnya. Pastinya sebuah lagu yang sedang berlegar di atmosfera media sosial berjudul ‘Dawai’ turut menjadi santapan peminat. Aufahanie menutup tirai persembahan dengan lagu Berdua Lebih Baik.
Acuan tempatan Drama Band juga tidak kurang hebatnya, setiap kelaku aksi menjadi sasaran khalayak yang hadir. Mereka membakar jiwa penonton dengan beberapa buah lagu antaranya Biarkan Berlalu, Ceritera Dia, Drama dan sebuah lagu cover daripada band Dewa yang berjudul Pupus.
Malam semakin larut, kedinginan malam terus di hangatkan dengan persembahan ST12 yang menampilkan Aris Idol sebagai vokalisnya. Antara lagu yang menjadi dendangannya adalah seperti Terlalu, P.U.S.P.A, Rasa Yang Tertinggal, Cukup Sampai Di Sini, Biarkan Aku Jatuh Cinta, dan Puteri Iklan. Bagi menunjukan solidariti untuk mangsa perang di Gaza, dia menyampaikan lagu yang berjudul Kebesaran MU.
“Kita sama-sama doakan yang terbaik kepada saudara-saudara kita di sana. Semoga mereka kuat,” ujar Aris Idol yang menerima tepukan bergemuruh penonton.
Konsert ‘Malam Galau Featuring ST12’ yang berlangsung pada 11 November lalu terus dimeriahkan dengan kehadiran Firman Siagian yang juga merupakan salah seorang peserta di Indonesia Idol. Kolaborasi Firman bersama ST12 melahirkan lagu Cari Pacar Lagi dan Terjatuh, Firman kemudiannya berduet dengan Hazama menerusi lagu Tiara. Untaian lirik lagu itu sudah pasti ‘mengajak’ penyuan vokal daripada khalayak yang turut sama bernyanyi.
Hazama kemudiannya memperdengarkan lagu terbarunya featuring ST12 yang berjudul Harapan Tak Kunjung Usai. Selepas itu Firman mengambil alih pentas dengan lagu menyampaikan lagu Saat Terakhir yang turut dibuat secara ‘live streaming karaoke’ bersama hadirin.
Tanpa dirancang, tiba-tiba nyanyian lagu Happy Birthday di nyanyikan oleh bassis (Indra) dan iringan kek harijadi ke atas pentas bersempena hari ulangtahun Firman yang jatuh pada 11 November.
Persembahan di teruskan dengan lagu yang viral di TikTok, Kepingan Hati. Panas, bingit menerpa seluruh ruang Zepp Kuala Lumpur nyanyian bersama penonton, begitu juga situasinya apabila lagu Kehilangan di perdengarkan.
Firman dan ST12 terus membuai perasaan khalayak dengan lagu Putih Putih Melati. Pepeng yang juga pemain drum ST12 membawa penonton dengan persembahan dram solo.
Setiap yang bermula pasti akan berakhir, konsert ‘Malam Galau Featuring ST12’ anjuran My Legacy Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Lashkar Entertainment menyaksikan kolaborasi hebat antara Firman dan Irfan yang melontarkan sebuah lagu yang berjudul Aku Masih Sayang dan sudah pasti meletakkan lagu Isabella sebagai ‘encore’ persembahan menjadi klimaks yang cukup meninggalkan sejuta nostalgia buat peminat dan hadirin.