April 25, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Spider Tampil Unplugged: Konsert Intim Rai Tiga Dekad Muzik

Spread the love

Setelah hampir tiga dekad bertapak dalam industri muzik tanah air, kumpulan rock popular Spider bakal mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi konsert istimewa berkonsepkan ‘unplugged’ yang dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Konsert yang dianjurkan oleh Naga Legend Entertainment ini dijangka menjadi medan buat Spider – yang terdiri daripada Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bass) dan Pown (gitar) – menampilkan sisi muzik mereka dalam suasana lebih intim dan akustik, sekali gus meraikan kredibiliti mereka sebagai pemuzik selama hampir tiga dekad.

“Kami tidak mahu sekadar membuat konsert kerana ingin menyertai trend semasa. Konsep adalah perkara utama yang kami tekankan. Kami mahu beri pengalaman eksklusif, sesuatu yang belum pernah kami tampilkan sebelum ini,” ujar Tam mewakili Spider.

Spider yang pernah memenangi Juara Lagu 2004 menerusi lagu “Relaku Pujuk” dan menghasilkan karya ikonik seperti “Nazraku”, “Aladdin”, dan “Kasih Latifah” tidak sekadar mahu menyajikan persembahan biasa. Konsert ini disifatkan sebagai satu penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong mereka sejak tahun 1996.

Fandy Alias dari Naga Legend Entertainment pula menyifatkan peluang bekerjasama dengan Spider sebagai sesuatu yang sangat dinantikan. “Konsep unplugged ini adalah pertama kali kami tampilkan bersama Spider. Kami yakin hasilnya akan sangat istimewa dan memberi momen yang tidak dapat dilupakan buat para peminat,” katanya.

Tiket mula dijual pada 25 April 2025 jam 3 petang menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com/spiderunplugged dengan harga bermula RM198 hingga RM388. Kategori tiket yang ditawarkan termasuk tempat duduk bebas dan tempat duduk bernombor mengikut harga masing-masing.

Peminat Spider disarankan agar tidak berlengah mendapatkan tiket kerana sambutan luar biasa dijangka, berdasarkan pengalaman konsert-konsert terdahulu mereka yang pernah ‘pecah panggung’.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page