September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Spider Lancarkan Single Terbaharu “Keluar Sarang”

2 min read
Spread the love

Video lirik rasmi lagu Keluar Sarang

Selari dengan tujuan mengekalkan nama mereka sebagai kumpulan rock muzik Malaysia yang sentiasa “evergreen” di hati peminat, Spider kini menampilkan single baharu mereka berjudul “Keluar Sarang”. Sejak album pertama mereka, Ngam Ho (1999), dengan lagu-lagu popular seperti “Relaku Pujuk” dan “Aladin”, Spider terus merangkul perhatian peminat muzik tempatan.

“Keluar Sarang”, sebuah lagu ciptaan Tam dengan lirik oleh Keon, menjadi taruhan Spider dalam era muzik kini selepas rilisan album ke-6 mereka, Ankabut, pada tahun 2016. Bagi mengikuti arus perubahan muzik masa kini, single ini dirakamkan dengan menerapkan bunyian elektronik dalam penyusunan lagu tersebut. Spider sendiri bertindak selaku produser dan penyusun lagu. Kumpulan ini dianggotai oleh Tam (vokalis/gitar), Aie (dram), Pown (gitar) dan Is (bass).

Nafie, yang juga merupakan gitaris ahli kumpulan Spider, direhatkan kerana masalah kesihatan namun sempat menyumbang dalam rakaman lagu ini bersama-sama Tam dan Pown. Nafie baru-baru ini dikejarkan ke hospital akibat serangan strok dan terkini masih di hospital setelah menjalani pembedahan di otak.

Menurut Spider sendiri, “Keluar Sarang” adalah sebuah single terbaharu yang diinspirasikan daripada Konsert Solo Keluar Sarang. Menggunakan tajuk yang sama, lagu ini akan dimuatkan dalam album kompilasi serta album penuh akan datang.

Album kompilasi dan album baharu ini adalah projek seterusnya untuk Spider selepas Konsert Solo “Keluar Sarang” yang mereka jayakan. Kedua-dua projek ini bakal diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Sony Music Entertainment.

“Single “Keluar Sarang” ini adalah sebagai pengenalan sebelum album sepenuhnya dirilis di pasaran. Album terakhir Spider adalah pada 8 tahun lalu. Spider kini sedang dalam studio untuk menyiapkan lagu-lagu terbaik dan hit untuk album baru ini agar mereka dapat terus menangkap hati para peminat di luar sana, seperti mana lagu-lagu hit mereka terdahulu dapat menangkap jiwa pendengar sehingga kini,” kata Dato’ M. Nasir, yang merupakan penasihat album terbaharu Spider nanti.

“Keluar Sarang” merupakan terbitan bersama Luncai Emas Sdn. Bhd. dan Sony Music Entertainment Malaysia dengan pengedaran digital oleh Sony Music Malaysia. Kini boleh dinikmati di platform YouTube dan digital yang lain.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page