Sound Circus Kembali Meriahkan MAEPS Sempena Ulang Tahun Ke-15 Art Of Speed Ogos Ini
Himpun 60 Artis Pelbagai Genre, Tampil Konsep Enam Pentas Dan Kolaborasi Legenda Nusantara
Selepas dua tahun tidak dianjurkan, festival muzik Sound Circus kembali dengan skala lebih besar dan konsep yang lebih segar, sekali gus dijangka menjadi antara tarikan utama dalam acara Art of Speed Malaysia 2026 (AOS 2026).
Festival itu bakal berlangsung selama dua hari iaitu pada 1 dan 2 Ogos 2026 di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), lokasi ikonik yang sering menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara berskala besar.
Kembalinya Sound Circus kali ini juga cukup signifikan kerana ia dianjurkan sempena ulang tahun ke-15 Airspeed yang dikenali sebagai antara penganjur acara muzik alternatif dan festival terbesar di negara ini.
Lebih menarik, edisi kali ini menandakan kepulangan festival berkenaan ke format luar (outdoor) selepas kali terakhir dianjurkan dalam suasana terbuka pada 2023.
Pengarah Festival Art of Speed Malaysia dan SoundCircus Summer Festival 2026, Asep Ahmad Iskandar, berkata penganjuran kali ini bukan sekadar menghidupkan semula festival berkenaan, sebaliknya membawa pengalaman baharu yang lebih matang kepada peminat muzik.
Menurutnya, selepas dua tahun berehat daripada festival luar, pihaknya merasakan sudah tiba masa untuk kembali dengan konsep yang lebih tersusun dan berbeza.
“Kami memang tidak mahu buat kemunculan semula yang biasa. Kalau mahu kembali, kami mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza dan memberi nilai tambahan kepada festival itu.

“Sejak awal lagi Sound Circus dibina dengan prinsip untuk membawa pengalaman yang lain daripada festival muzik biasa,” katanya ketika ditemui media di The Campus pada 12 Mac lalu.
Menurutnya, pengalaman menganjurkan festival sebelum ini termasuk di MAEPS memberi banyak pengajaran kepada pasukannya untuk memastikan edisi kali ini berjalan lebih lancar walaupun melibatkan jumlah artis yang ramai.
Berbeza dengan kebanyakan festival muzik yang hanya menampilkan satu pentas utama, Sound Circus tampil dengan konsep enam pentas berasingan yang dibahagikan mengikut zon muzik.
Pendekatan itu membolehkan pengunjung menikmati pelbagai jenis muzik dalam satu acara tanpa perlu terikat dengan satu genre sahaja.

“Biasanya festival ada satu pentas saja dan jadual artis bercampur-campur. Tetapi dengan ruang yang luas di MAEPS, kami boleh menyediakan enam pentas dengan zon muzik yang berbeza supaya pengunjung boleh bergerak dari satu pentas ke pentas lain mengikut selera muzik mereka,” katanya.
Festival itu dijangka menghimpunkan hampir 60 artis dari pelbagai genre termasuk rock, indie, alternatif dan muzik elektronik.
Menurut Asep, pemilihan artis dibuat dengan teliti kerana pihaknya mahu memastikan setiap pemuzik yang tampil mempunyai nilai dan cerita tersendiri dalam festival berkenaan.
“Pemilihan artis bukan sekadar melihat populariti atau trend semasa. Kami melihat perjalanan muzik mereka dan pencapaian yang pernah diraih supaya festival ini mempunyai cerita yang boleh dirasai oleh penonton,” katanya.

Antara persembahan yang dijangka menjadi tumpuan utama ialah kolaborasi istimewa dua legenda muzik Nusantara iaitu Ella dari Malaysia bersama kumpulan rock terkenal Indonesia, Cokelat.
Kolaborasi itu bakal dipersembahkan menerusi konsep khas dinamakan ‘Takhta Ratu Nusantara’, yang menghimpunkan dua nama besar dalam satu pentas.

Selain itu, beberapa konsep persembahan eksklusif turut diperkenalkan termasuk Jemson X Def Gab C menerusi konsep Legends X Renegades yang menggabungkan dua generasi kumpulan rock.
Kumpulan Slatan pula akan meraikan ulang tahun mereka menerusi persembahan khas Hari Slatan, manakala penyampai radio Issey bersama The Clique akan menampilkan persembahan dikir barat bertemakan budaya kustom menerusi konsep Dikir Kustom.

Turut mencuri perhatian ialah persembahan unik yang menyatukan dua generasi anak dan ayah iaitu Couple bersama Adnan Othman menerusi konsep Power Pop Yeah Yeah.
Bagi peminat muzik keras, konsep ‘30 Years of Asian Hardcore’ turut diperkenalkan sebagai penghargaan kepada perjalanan genre hardcore di rantau ini.


Menurut Asep, sejak diperkenalkan pada 2017, Sound Circus diwujudkan sebagai platform untuk menyokong pemuzik bebas serta bakat baharu dalam ekosistem muzik alternatif dan bawah tanah Malaysia.
Pada 2019, festival ini berkembang daripada penganjuran dalam ruang tertutup kepada festival luar di MAEPS dan berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung.
Bagi edisi 2026, penganjuran festival itu turut mendapat sokongan Tourism Selangor sebagai rakan strategik dalam usaha memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab pelancongan budaya dan industri kreatif.
Kerjasama itu juga dijangka membantu menarik lebih ramai pengunjung tempatan serta pelawat dari luar negara, sekali gus memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

Sementara itu, barisan artis festival akan diumumkan secara berperingkat menerusi tiga fasa.
Antara nama yang sudah diumumkan termasuk The Jansen dari Indonesia, Masdo, Midnight Fusic, Sweetass, Johnny Comes Lately, Second Combat, Krusty, After Midnight dan Iron Gaze.


Turut menghangatkan festival ialah penyanyi Indonesia Nadin Amizah, Tenxi, High Therapy, Straight Answer, kumpulan Jepun Johnny Pandora serta wakil Singapura Overthrown.
Untuk menghadiri AOS 2026, tiket masuk acara utama dijual pada harga RM35, manakala tiket SoundCircus ditawarkan dalam beberapa kategori bermula RM89 hingga RM169 bagi General Admission dan RM139 hingga RM219 bagi Rockzone.

Peminat juga boleh mendapatkan pakej khas Hero Guest Care Pack dengan harga antara RM188 hingga RM388.
Dengan gabungan puluhan artis, enam pentas serta pelbagai konsep persembahan eksklusif, Sound Circus dijangka kembali menghangatkan MAEPS dan menjadi antara festival muzik paling meriah tahun ini.
