January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

SonaOne Bangkit Semula dengan “Stamina”

Spread the love

Selepas tempoh menyepi dari spotlight utama, penyanyi-penulis lagu dan produser prolifik, SonaOne, muncul kembali dengan single terbaharu bertajuk “Stamina”, menandakan lembaran baharu yang lebih reflektif, matang dan peribadi dalam perjalanan seninya.

“Stamina” bukan sekadar lagu tetapi ia adalah monolog dalaman tentang menahan gelodak rasa, bertahan dalam diam, dan kekal tenang walau hati sedang bergelora.

“Ini stamina emosi — ketahanan hati, bukan fizikal semata-mata,” ujar SonaOne.

Lagu ini mengajak pendengar merenung saat-saat bila kita ingin meluahkan segalanya, tetapi memilih untuk mendiamkan diri demi menjaga keseimbangan perasaan.

Menariknya, lagu ini tercipta secara spontan, bermula dengan nyanyian rawak “mmm-mmm-mmm” yang akhirnya kekal hingga ke versi akhir. Dengan sentuhan produksi dari K1O dan Wolfy, “Stamina” berjaya mengekalkan roh demo asalnya, sekaligus menampilkan satu sisi kreatif yang jujur dan tidak dibuat-buat.

“Kadang-kadang lagu terbaik datang bila kita berhenti cuba dan biarkan ia mengalir,” kata SonaOne.

Bagi peminat setia, ini bukan sekadar comeback tetapi prolog kepada sesuatu yang lebih besar. SonaOne memberi bayangan akan hadirnya lebih banyak karya di bawah era baharu yang digelar “Kenobi Season”, lengkap dengan muzik segar, visual menarik dan naratif yang lebih mendalam.

Tanpa gimik atau sensasi murahan, “Stamina” berdiri sebagai bukti bahawa kejujuran dan keaslian dalam berkarya masih punya tempat di hati pendengar.

“Kalau lagu ni kena tepat dengan perasaan para pendengar, itu dah cukup bagi saya,” jelasnya.

“Stamina” kini boleh distrim di semua platform digital utama. Jangan lepaskan peluang untuk menyelami emosi yang dibungkus indah dalam naskhah muzik yang penuh jiwa ini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page