Sombr Hadir Dengan Album Debut I Barely Know Her, Hadiah Istimewa Buat Peminat

Fenomena alt-pop global, Sombr, bakal melakar satu lagi sejarah dalam kariernya apabila mengumumkan pelancaran album debut yang sangat dinanti-nantikan, I Barely Know Her. Album tersebut dijadualkan menemui peminat pada 22 Ogos 2025 menerusi Warner Records.
Disifatkan sebagai hadiah istimewa buat peminat yang setia mengikuti perjalanan seninya, album ini dijangka melonjakkan penyanyi berusia 20 tahun itu ke tahap ‘superstardom’, selepas setahun penuh kejayaan dengan rekod carta yang memecah pelbagai pencapaian dan siri konsert arena habis jual di seluruh dunia.
Lebih istimewa, semua lagu dalam I Barely Know Her ditulis sendiri oleh sombr, yang turut bekerjasama dengan penerbit legenda Tony Berg – nama besar di sebalik karya Phoebe Bridgers, Boy Genius, Aimee Mann, The Replacements dan Michael Penn. Album ini bakal dilancarkan menjelang konsert jelajah Amerika Utara sombr, dan kini boleh dipra-simpan di platform penstriman utama.
Sombr, atau nama sebenarnya Shane, mula menapak dalam dunia muzik dengan merakamkan lagu di bilik tidur sebelum menggegarkan pentas global. Pada usia 19 tahun, single debutnya Caroline mencatat lebih 1 juta strim dalam minggu pertama, kini sudah melepasi 38 juta strim di Spotify.
Antara karya lain yang mendapat sambutan besar termasuk Willow, Would’ve Been You (45 juta strim) dan Do I Ever Cross Your Mind (13 juta strim). Tahun 2025 menyaksikan perjalanan seni sombr melonjak apabila disenaraikan dalam Billboard 21 Under 21, mengiktirafnya sebagai salah satu artis muda paling berpengaruh dalam membentuk masa depan industri muzik.

Mengukuhkan lagi kedudukannya, sombr menerima dua pencalonan di MTV Video Music Awards 2025 untuk kategori Artis Baharu Terbaik dan Video Alternatif Terbaik.
Single terbaharunya, 12 to 12, kini menjadi kegemaran ramai dengan peningkatan jumlah pendengar Spotify melebihi 3.6 juta pendengar bulanan.
“Belajar nyanyian klasik mengajar saya cara mendapatkan bunyi yang saya mahukan. Saya mencintai seni ini, dan selagi saya dapat menggunakan apa sahaja dalam diri saya untuk memberi inspirasi kepada orang lain, saya bahagia… atau sekurang-kurangnya tidak terlalu ‘somber’,” ujar sombr.
Baru sahaja menamatkan Jelajah Amerika Utara 2024, sombr telah menggegarkan pentas habis jual di bandar-bandar utama termasuk New York, Los Angeles, Atlanta dan Toronto. Persembahan penutup di lokasi ikonik The Troubadour, Los Angeles menerima pujian meluas atas persembahan penuh tenaga dan emosi.
Latar belakangnya sebagai graduan LaGuardia High School, New York, sekolah seni persembahan yang menginspirasi filem Fame, menjadi bukti perjalanan seni sombr dibina dengan asas muzik klasik sebelum berkembang ke arah alt-pop moden yang penuh penceritaan emosi.
Dengan gabungan pengiktirafan antarabangsa, pencalonan anugerah besar, kejayaan strim dan sokongan peminat setia di seluruh dunia, sombr kini berdiri sebagai salah seorang artis muda paling menjanjikan dalam generasinya.