Soloz x The Gamers Kembali ‘Gegar’ Raya
10,000 Slip-On & 6,000 Refit Jadi Rebutan, Tiada Ulangan Cetakan!
Selepas mencetus fenomena sold out dalam tempoh dua minggu bagi kolaborasi terdahulu sekitar 2023, ikon e-sukan tanah air, Soloz kembali bekerjasama dengan jenama tempatan The Gamers untuk koleksi Raya 2026 yang lebih ‘padu’ dan eksklusif.
Pelancaran koleksi terbaharu ini memperkenalkan dua edisi khas – Slip-On dan Refit – yang disifatkan sebagai limited edition tanpa sebarang cetakan semula.
Menurut Fatin Fadila, Pengurus Besar Fipper Malaysia, untuk keluaran kali ini sebanyak lebih 10,000 pasang Slip-On ditawarkan, manakala model Refit pula hanya 6,000 pasang sahaja.
“Tiada reprint. Memang ini sahaja kuantitinya. Itu memang dalam perjanjian kami – koleksi ini eksklusif dan terhad,” jelasnya ketika ditemui media sempena majlis pelancaran yang berlangsung di KL East Mall pada 28 Febuari lalu.
Malah, salah satu warna pilihan iaitu pink purple sudah pun habis dijual secara dalam talian, dan kini hanya boleh didapati di kedai fizikal terpilih.
Bagi peminat yang ingin mendapatkan koleksi ini:
- Slip-On dijual pada harga RM99.90
- Refit pula pada harga RM79.90
Setiap pembelian hadir bersama log khas, stiker eksklusif dan thank you card edisi kolaborasi.

Berbeza dengan kolaborasi terdahulu yang menyaksikan keputusan reka bentuk dibuat secara 50-50, kali ini Soloz diberikan kebebasan lebih besar.
“Untuk koleksi baharu ini, hampir 70% warna dan reka bentuk adalah pilihan Soloz sendiri. Kami hanya bantu dari segi percetakan dan pemasaran,” katanya lagi.
Jika sebelum ini bahagian tepi menggunakan emblem, kini ia digantikan dengan material baharu yang lebih tahan lasak dan tidak mudah rosak.
Menariknya, pengenalan model Refit bukan sekadar variasi gaya, tetapi strategi untuk menawan demografi berbeza.
“Kami buat undian dan lihat demografi pelanggan. Refit ini lebih sesuai untuk mereka berusia 30 tahun ke atas, terutama yang selesa memakainya ke masjid dan sebagainya. Jadi kita cuba ‘cover’ semua peringkat umur,” jelas wakil berkenaan.
Selepas kejayaan 2023 dan koleksi Raya 2026 ini, persoalan sama ada akan ada edisi ketiga turut ditanya.
“Insya-Allah mungkin ada yang ketiga. Tapi hujung tahun nanti kami ada kolaborasi lain dengan satu jenama, bukan dalam kategori gamers. Buat masa ini, masih rahsia.”
Dengan rekod sambutan hangat dan status limited edition, koleksi Soloz x The Gamers ini dijangka sekali lagi menjadi buruan terutama dalam kalangan peminat e-sukan dan pengikut setia ikon tersebut.
