June 6, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Sofea Legacy Beraksi Bersama FTG Ogos Ini

Spread the love

Dua nama gergasi dalam arena muzik rock dan metal Malaysia, Sofea Legacy dan FTG (Freedom That’s Gone), bakal bergabung tenaga dalam konsert “Metal Fighter” yang dianjurkan oleh Mentari Merah Entertainment. Acara yang dinanti-nantikan ini dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 16 Ogos 2025, jam 9.00 malam di Warisan Hall Studio.

Konsert ini menjanjikan malam penuh nostalgia dan tenaga dengan persembahan daripada Sofea Legacy yang akan menampilkan barisan anggota mantap iaitu Fancy (gitar pertama), Jay (gitar kedua), R’man (bass), Dauz (dram), dan Mie (vokalis utama).

Dalam temubual eksklusif, Sofea Legacy mendedahkan mereka akan membawakan lagu-lagu hits kegemaran peminat seperti “Surga di Hujung Jarum”, “Anak Liar Orang Timur”, dan “Hati Setan”. Selain itu, mereka turut mengesahkan bakal mempersembahkan tiga lagu baharu yang pasti mencetuskan keterujaan di kalangan peminat setia.

Menyentuh mengenai keserasian gaya muzik dengan FTG yang berkonsepkan thrash metal, Sofea Legacy menyatakan, “Kami akan cuba seimbangkan muzik kami dengan muzik FTG.” Kenyataan ini memberi bayangan bahawa Sofea Legacy mungkin akan menampilkan seleksi lagu yang lebih pantas dan agresif untuk malam tersebut, sekali gus mempamerkan kepelbagaian muzik mereka.

Sofea Legacy turut melahirkan rasa bangga diberi peluang berkongsi pentas dengan FTG, salah satu pelopor thrash metal di Malaysia. “Kami amat berbesar hati dan berbangga sekali bila dapat berganding bersama FTG di satu pentas,” ujar mereka. Tambah menarik, Sofea Legacy membayangkan kemungkinan kolaborasi istimewa dengan FTG pada malam konsert. “InsyaAllah kami sedang merancang sesuatu bersama FTG,” kata mereka penuh misteri.

Acara “Metal Fighter” ini mendapat sokongan padu daripada Mentari Merah Studio, Warisan Hall, dan Malaysia Music Scene, yang kesemuanya komited dalam memperkasa industri muzik tempatan.

Bagi peminat muzik keras tempatan, “Metal Fighter” adalah acara yang tidak boleh dilepaskan. Saksikan sendiri pertembungan dua legenda muzik ini di atas pentas!

Tiket berharga RM100.00 boleh didapati dengan menghubungi wakil penganjur di talian berikut: 019-240 7994 (MM), 019-212 3239 (Zam Pacak), atau 011-2832 6494 (R’man).


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page