SMT Kembali, Penganjur Sasar Pengalaman Metal Luar Biasa
Gegaran muzik ekstrem bakal kembali menguasai pentas apabila Sarawak Metal Titan (SMT) 2026 dianjurkan pada 11 April ini, dengan penganjur bertekad untuk menyajikan pengalaman metal paling intens dan sukar dilupakan buat peminat di Sarawak.
Diterajui secara bersama oleh Midlife Crisis Event dan Restwell Extreme Chapter dengan kerjasama Box13 Karaoke Bar, acara yang berlangsung di 13 Box K. Bar, MJC Batu Kawa bermula jam 4 petang itu akan menghimpunkan lapan kumpulan tempatan Sarawak serta dua kumpulan jemputan khas dari Kalimantan Barat, Indonesia.
Edisi kali ini menampilkan kumpulan black metal dari Kuching, Kebes dan kumpulan Sindevourer, tampil dari Pontianak, Kalimantan Barat sebagai penampil. Sindevourer juga bakal melancarkan EP sulung mereka secara rasmi di pentas SMT 2026 itu nanti.

Turut beraksi ialah Dangdur (Bintulu), Haram Jadah (Sibu), Baksidik (Sibu), Dire Crown (Miri), Breathe in Ocean (Kuching), Rotting Century (Kuching), serta sebuah lagi kumpulan jemputan dari Kalimantan Barat iaitu Moral Deviation.
Acara ini amat dinanti-nantikan oleh komuniti metal selepas kali terakhir dianjurkan pada Disember lalu, sekali gus membuktikan sokongan berterusan terhadap perkembangan muzik bawah tanah di negeri ini.
Menurut wakil penganjur, Rudyanto Chahleys Dyerkraun, SMT 2026 bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya satu platform penting untuk memperkukuh jaringan komuniti serta membuka peluang kepada pemuzik tempatan.
“Ini adalah gerakan komuniti. Kami mahu setiap yang hadir merasai pengalaman sebenar gig metal — bukan sekadar menonton, tetapi menjadi sebahagian daripada energi dan semangat yang dibawa,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran acara seumpama itu turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pelancongan, perhotelan dan pengangkutan.
“Bila peminat dari luar datang ke Kuching, mereka bukan sahaja hadir untuk muzik, tetapi turut menyumbang kepada perniagaan tempatan. Ini yang kita mahu bangunkan secara konsisten,” ujarnya.
Tambahnya, kejayaan festival metal di beberapa negara Asia seperti China, Taiwan, Thailand, Filipina dan Indonesia membuktikan muzik tersebut berpotensi besar untuk diketengahkan secara lebih meluas.

“Di negara-negara ini, festival metal sudah menjadi sebahagian daripada kalendar pelancongan rasmi. Kita di Sarawak juga mampu ke arah itu jika komuniti terus bersatu dan mendapat sokongan.
“Paling penting, penganjur sendiri datang daripada komuniti metal yang faham jiwa dan nilai sebenar muzik ini,” katanya lagi.
Mengulas persepsi negatif terhadap muzik metal, Rudyanto berkata stigma tersebut semakin berkurangan seiring perubahan masa.
“Ramai masih melihat metal dengan stereotaip lama, tetapi realitinya hari ini komuniti ini terdiri daripada individu berkerjaya, berdisiplin dan mempunyai daya tahan mental yang tinggi.

“Muzik metal adalah medium untuk melepaskan tekanan secara sihat. Dalam komuniti ini, tiada diskriminasi — semua datang dengan satu tujuan, iaitu menikmati seni,” jelasnya.
Sarawak Metal Titan merupakan hasil kerjasama Midlife Crisis Event dan Restwell Extreme Chapter bersama Box13 Karaoke Bar, dengan kemasukan percuma sebagai tanda sokongan kepada komuniti muzik tersebut.
Dengan barisan kumpulan yang mantap serta elemen pelancaran karya baharu di pentas antarabangsa, SMT 2026 dijangka sekali lagi menjadi platform penting dalam memartabatkan muzik metal di Bumi Kenyalang.
